Jumaat, 23 Januari 2015

Najib digesa campur tangan kemelut MIC

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic



SHAH ALAM: Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak digesa campur tangan dalam menyelesaikan kemelut yang melanda parti komponen MIC dengan segera sekali gus menyelamatkan parti berkenaan daripada dibubarkan.

Malah, bekas Pengarah Strategi MIC, Datuk Seri S Vell Paari berkata campur tangan Najib perlu kerana presiden Datuk Seri G Palanivel begitu jelas terlalu mengambil mudah dengan apa yang sedang melanda parti sekarang.

Justeru, bagi mengelakkan kesan buruk kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang Najib perlu campur tangan, tegasnya.

"Presiden MIC tidak ambil berat dengan apa yang jadi sekarang.

"Masanya sudah tiba untuk PM campur tangan sebab MIC ini adalah komponen dalam BN. Jika PM tidak campur tangan dan selesaikan perkara ini dengan segera ini akan memberi kesan kepada GE14 sekali gus beri kesan buruk kepada BN," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Menurut Vell Pari, bagi mengekalkan kedudukan BN pada GE14 nanti parti itu perlu mendapatkan lebih enam hingga tujuh peratus sokongan pengundi India.

"Bagi pendapat saya untuk BN kekalkan kedudukan sekarang dan mungkin boleh buat sedikit perubahan...kita kena dapat Indian vote swing lebih dari 6-7%. Tapi, jika keadaan (MIC) sekarang ini masih berterusan ia akan memberi kesan buruk lagilah," katanya.

Mengulas mengenai sejauh mana Palanivel perlu berundur ini jawab Vell Pari:

"Semua orang sudah bercakap dengan Palanivel untuk step down sebab terlalu banyak penipuan dalam pemilihan MIC yang lalu. Siapa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya? Datuk Palanivel dan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, ROS dah beri banyak bukti berlaku penipuan semasa pemilihan (MIC) berlangsung.

"Dan jika dia seorang yang bertanggungjawab mesti mengakui kesalahannya dan bersedia untuk letak jawatan," jelasnya.

Sebelum ini kepimpinan MIC begitu kecewa dengan sikap 'berlengah' dan 'keliru' Palanivel yang sehingga kini masih belum memutuskan sebarang langkah penyelesaian bagi menyelamatkan parti berkenaan.

 Ini kerana kepimpinan parti itu masih belum mendapat sebarang maklum balas ataupun jawapan daripada pihak kepimpinan tertinggi parti berhubung cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Vell Pari juga meluahkan rasa kecewa Palanivel lebih cenderung untuk 'membantah' arahan ROS dan mempertahankan keputusan pemilihan yang dakwanya berlangsung berlandaskan proses demokrasi.

Berbanding mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan parti berkenaan daripada dibubarkan.
Untuk rekod, penubuhan jawatankuasa khas itu telah diumumkan sendiri oleh Palanivel dalam sidang media selepas mesyuarat kontroversi parti berkenaan, 18 Disember lalu.

Tiada ulasan: