Selasa, 20 Januari 2015

MP desak hapus AP makanan

MALAYSIAKINI


 


MP Kapar, G Manivanan mendesak kerajaan agar menghapuskan permit mengimport (AP) ke atas 2,428 jenis barang makanan bagi mengurangkan harga barang makanan.

Menurutnya, pelaksanaan AP mewujudkan kawalan monopoli ke atas barang makanan tersebut, termasuk bijirin, gula, daging, hasil tenusu, koko dan buah-buahan.

"Saya menyeru supaya sistem permit import ini dimansuhkan untuk membolehkan barang makanan import dibawa masuk pada harga yang tidak dijawal oleh beberapa pihak sahaja," katanya dalam sidang media pagi ini.

Pengerusi biro kepenggunaan PKR itu percaya penghapusan AP akan turut membantu mengurangkan kesan kenaikan harga barang akibat penurunan mendadak matawang ringgit.

"Jika tidak berhati-hati, kawalan pasaran oleh pemegang permit import ini membolehkan mereka menaikkan harga dengan alasan penurunan matawang ringgit," katanya lagi.

Dalam sidang media sama, MP Pandan Rafizi Ramli pula berkata, penghapusan AP akan melicinkan lagi pemerolehan barang makanan tersebut oleh pengimport.

Menurutnya, di bawah sistem sedia ada peniaga terpaksa memohon AP seawal tiga hingga empat bulan dari tarikh ia dijangka dibawa masuk ke dalam negara.

Sedangkan katanya, kebanyakan harga barang makanan yang memerlukan AP sebenarnya turun dan naik dengan cepat berdasarkan harga pasaran.

"Kita mahu kembalikan harga barangan ke harga pasaran terutamanya dalam keadaan harga barang semakin jatuh," katanya.

Tiada ulasan: