Khamis, 8 Januari 2015

MP: 1MDB mohon tangguh projek janakuasa

MALAYSIAKINI


 


MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bakal berdepan masalah untuk melunaskan hutang RM42 bilion ekoran kelewatan di satu projek loji janakuasa.

Rafizi mendakwa demikian dengan memetik maklumat daripada satu mesyuarat antara 1MDB melalui anak syarikat terbabit, Jimah East Power Sdn Bhd dengan Suruhanjaya Tenaga.

Beliau mendakwa, mesyuarat tersebut pada 4 Disember itu diadakan untuk memohon melanjutkan jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen janakuasanya selama enam bulan.

"Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah East yang akan membawa kesan kewangan besar kepada 1MDB dan rakyat Malaysia,” dakwanya.

Beliau mendakwa, 1MDB memohon untuk melanjutkan lagi projek tersebut selama 6 bulan, walau ia melanggar perjanjian jualbeli tenaga (PPA).

“Ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei 2019 berbanding tarikh yang ditetapkan perjanjian iaitu 15 November 2018,” kata Rafizi dalam kenyataannya.

Selain itu, syarikat itu juga perlu menebus guna kawasan tanah paya sebelum dapat digunakan untuk pembinaan loji, kata Rafizi.

“Dalam keadaan 1MDB belum lagi mempunyai tapak projek yang ditebus guna dan masalah aliran tunai yang dihadapinya, ada kemungkinan projek Jimah Timur ini akan terus mengalami kelewatan.

“Ini akan melewatkan lagi proses penyenaraian aset-aset tenaga 1MDB yang sebelum ini disebut sebagai strategi penting menyelamatkan 1MDB dari masalah kewangan yang kian meruncing,” katanya lagi.

Beliau seterusnya mendakwa, kelewatan projek itu akan mengakibatkan peningkatan tarif eletrik, dan TNB perlu menjangka kerugian sekiranya pengeluar tenaga bebas (IPP) tidak membekalkan kuasa eletrik tepat pada masanya.

Sementara itu, 1MDB ketika dihubungi Malaysiakini menolak untuk memberi maklum balas mengenai dakwaan Rafizi berhubung projek Jimah Timur.

Tiada ulasan: