Khamis, 22 Januari 2015

Mogok lapar bukan budaya Malaysia, kata Subramaniam

 THE MALAYSIAN INSIDER


Mogok lapar yang dilancarkan seorang pemimpin MIC di hadapan pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya bukan sebahagian daripada budaya Malaysia, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar).

"Ia bukan satu budaya yang kita harus ikuti. Tidak di Malaysia. Ini ialah budaya India. Biarkan sahaja budaya itu di benua tersebut.

"Kita harus membawa aspek yang baik dan bukan aspek buruk budaya (India) ke negara ini," katanya ketika mengulas mogok lapar oleh Setiausaha Agung MIC Datuk G.Kumar Aaman hari ini.


Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baharu kepada kakitangan kementerian di Putrajaya, hari ini.

 Kumar Aaman memulakan mogok lapar kira-kira 2 petang tadi untuk membantah arahan RoS, yang diterimanya pada Isnin, menyatakan kedudukannya sebagai setiausaha agung MIC adalah tidak sah.

Kumar Aaman berkata beliau tidak akan makan sehingga Kementerian Dalam Negeri campur tangan dan menyingkirkan ketua pengarah RoS.

"Saya akan tidur di luar bangunan dan hanya menelan cecair sehingga keadilan dilaksanakan," kata beliau.

Keadaan di luar RoS di Putrajaya dilaporkan tenang dan terkawal.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengumumkan pelantikan Kumar Aaman sebagai setiausaha agung parti awal bulan ini bersama pelantikan lain ke jawatan utama dalam parti.

Pada Rabu, Dr Subramaniam berkata RoS memaklumkan secara bertulis ia tidak mengiktiraf pelantikan yang dibuat oleh MIC ekoran perintahnya supaya parti itu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan-jawatan tertentu.

Pada 5 Disember, RoS  mengisytiharkan sebagai tidak sah dan batal pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung parti pada November 2013, dan mencadangkan pemilihan semula diadakan dalam tempoh 90 hari.

Kepada satu soalan, Subramaniam berkata beliau akan menemui presiden parti minggu depan untuk membincangkan kemelut MIC dalam usaha mencari penyelesaian.

"Saya sentiasa berharap  presiden akan bertemu dan bercakap dengan saya," kata beliau. – Bernama

Tiada ulasan: