Sabtu, 31 Januari 2015

MH370: Ada waris tak terima pendirian Putrajaya

MALAYSIAKINI



 
 
 
MH370 Empat waris mereka yang menaiki pesawat MH370 yang hilang, tidak boleh menerima pendirian Putrajaya tanpa sebarang bukti bahawa orang yang mereka sayangi itu telah meninggal dunia.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur malam tadi, mereka berkata adalah tidak sesuai untuk mengisytiharkan mereka dalam pesawat itu telah meninggal dunia kerana usaha mencarinya masih berjalan.

"Saya bantah keras, tidak puas hati, kecewa dengan pengumuman mereka," kata seorang ahli keluarga dari China, yang hanya dikenali sebagai Kelly.

Yang lainnya berang kerana pihak berkuasa memutuskan untuk membuat pengumuman itu melalui akhbar dan tidak memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu secara peribadi.

Jacquira Gonzalez, isteri kepada penyelia dalam penerbangan Patrick Gomes, berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak sensitif dengan berbuat demikian.

Sementara itu, yang lain membidas dakwaan DCA bahawa Putrajaya memutuskan untuk mengisytiharkan pesawat sebagai hilang untuk membantu proses tuntutan insurans ahli keluarga.

"Mereka berkata, mereka mahu membuat (proses) pampasan (lebih mudah). Kami tidak berminat dengan pampasan mereka.

"Kepada dunia, ia sudah setahun (berlalu), tetapi bagi kami, kami telah hidup dalam kesedihan setiap hari," kata Grace Subathirai, anak perempuan kepada penumpang Anne Daisy.

Empat individu itu sempat bercakap selama 15 minit sebelum ianya dibatalkan kerana hujan. Mereka adalah antara 20 waris yang hadir dan berucap di tempat terbuka.

Waris yang berucap di majlis itu berkata mereka masih belum memutuskan apa yang hendak dilakukan seterusnya.

Semalam, DCA mengisytiharkan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah meninggal dunia, tetapi berjanji bahawa pencarian pesawat itu akan terus.

MH370, penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Beijing, dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas.

Penerbangannya dipercayai berakhir di suatu tempat di Lautan Hindi berhampiran Australia. Pihak berkuasa Australia sedang menjalankan operasi mencarinya.

Tiada ulasan: