Ahad, 11 Januari 2015

Melaka bakal jadi negeri pengeluar kapal terbang laut

THE MALAYSIAN INSIDER


Sebuah kapal terbang laut jenis Grumman. Ketua Menteri Melaka berkata negeri itu bakal menjadi pengeluar kenderaan itu. – Gambar ihsan Wikipedia.Sebuah kapal terbang laut jenis Grumman. Ketua Menteri Melaka berkata negeri itu bakal menjadi pengeluar kenderaan itu. – Gambar ihsan Wikipedia. 


Melaka bakal menjadi negeri pengeluar kapal terbang laut pelbagai guna menjelang 2017, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata pembinaan kapal terbang laut itu dengan teknologi Korea Selatan akan menjadi antara industri pilihan bukan sahaja di peringkat serantau tetapi di seluruh dunia yang dapat menarik lebih banyak pelabur.

"Pesawat ini sesuai digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat di air dan kegunaan pasukan keselamatan.

"Selain itu, kita lihat ia juga sesuai digunakan untuk tujuan pelancongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Percubaan Kapal Terbang Laut Jebat M727 di Marina Awam di Taman Kota Laksamana, Melaka hari ini. Beliau berkata kapal terbang laut yang dikeluarkan oleh syarikat Aron Rinani Sdn Bhd mampu berada di udara sehingga pada paras ketinggian 150m dan terbang sejauh 800km dengan tangki penuh.

Presiden Aron Rinani, Noor Azerai Ahmad berkata setakat ini, lebih 100 unit kapal terbang laut ditempah oleh beberapa negara luar dan tempahan pertama pesawat itu dengan kos US$1 juta (RM3.55 juta) sebuah, dijangka siap Jun ini.

Bagaimanapun, katanya kapasiti kilangnya di Masjid Tanah, Alor Gajah hanya dapat membina tujuh unit pesawat setahun.

"Kilang baharu akan dibina di Teluk Gong, Alor Gajah pada Februari ini dan selepas siap kelak, ia mampu mengeluarkan 50 unit kapal terbang laut setahun," katanya. – Bernama, -

1 ulasan:

Unknown berkata...

Patutnya dari dulu, kini dan selamanya, bukan saja negeri yg selalu x dapat lari banjir bahkan negeri yg kadang kadang dan jarang jarang kena banjirpun dah miliki beberAPA BUTIR KAPAL JENIS NI.