Khamis, 8 Januari 2015

MB: Tindakan lanjut jika gagal pulang pampasan

MALAYSIAKINI


Menteri Besar Selangor Azmin Ali menafikan laporan audit berhubung pampasan RM2.6 juta kepada bekas kakitangan Tan Sri Khalid Ibrahim adalah cacat dan berniat jahat.

Sebaliknya, Azmin berkata laporan audit tersebut tidak mempunyai sebarang masalah dan ia dilakukan oleh jabatan audit yang bebas.

Malah, katanya, berdasarkan laporan audit itu juga terbukti wujud penyelewengan dan salah guna kuasa.

Justeru, ADUN Bukit Antarabangsa itu menegaskan, tindakan pihaknya yang memberi tempoh selama dua minggu untuk memulanglan semula duit pampasan itu merupakan satu tindakan yang paling diplomatik.

Bagaimanapun, Azmin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya tiada sebarang respons dari pihak berkaitan selepas tempoh 14 hari diberikan dari tarikh surat, bagi memulanglan wang tersebut.

"Jabatan audit merupakan satu jabatan yang bebas dan lakukan siasatan secara terbuka dan terbukti daripada dokumen yang dibentangkan itu wujud penyelewengan dan salah guna kuasa yang tidak boleh dibenarkan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan perkara seperti ini. Ini cara yang cukup diplomatik dan penyelesaian cara baik. Sebab itu kita minta mereka pulangkan balik wang pampasan tersebut.

"Mereka ada dua minggu untuk respons. Sekiranya gagal, tindakan selanjutnya akan diambil ke atas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini

Semalam, mantan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Faekah Husin mendakwa laporan audit berhubung pampasan itu cacat, dilakukan secara tidak profesional dan berniat jahat.

Dakwa Faekah, dokumen itu cacat kerana dibuat tanpa penjelasan bekas pegawai menteri besar dan Khalid sendiri sebagai menteri besar ketika kejadian.

Sehubungan itu, ketika ditanya mengenai pegawai yang tidak dipanggil semasa laporan audit dibuat, Azmin berkata, perkara itu di luar bidang kuasanya.

"Itu (tidak panggil pegawai) saya tidak campur. Itu terserah kepada mereka (jabatan audit) kerana mereka satu badan yang bebas.

"Tetapi saya yakin jabatan audit menjalankan siasatan dan mengambil langkah yang sesuai," katanya lagi.
 

Tiada ulasan: