Khamis, 22 Januari 2015

MB: Segerakan baiki paip pecah elak 40,000 pengguna terjejas

 SELANGOR KINI

SHAH ALAM : Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) patut menyegerakan kerja pembaikan paip pecah yang dijangka mengambil masa 36 jam untuk tidak membebankan kira-kira 40,000 pengguna.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata beliau mahu Syabas menyimpan stok yang mencukupi seperti injap berkuasa tinggi untuk mengelakkan kelewatan kerja penyelenggaraan.
injap
“Saya membuat lawatan mengejut ke lokasi paip agihan dari Loji Rawatan Air Semenyih ke Bukit Mahkota yang pecah.

“Minta Syabas segera baiki, saya ke Jenderam untuk melihat kerosakan injap paip agihan yang membekalkan air bersih ke Bukit Mahkota,” tulis Mohamed Azmin di laman Facebooknya.

Katanya, beliau memantau kerja pembaikan Syabas supaya memenuhi jadual kerja ditetapkan dan tidak membebankan pengguna.
Sebanyak 56,884 rumah di Hulu Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air selama 36 jam mulai 8 malam (21 Januari) sehingga 23 Januari 8 pagi Jumaat ini berikutan kerja-kerja kecemasan untuk membaiki paip pecah.
injap baru
Paip utama yang pecah itu mendapat bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Semenyih yang diuruskan oleh pihak Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sejumlah 44,661 rumah daripada 54 kawasan di Hulu Langat bakal menghadapi gangguan itu termasuk Seksyen 6, Bandar Baru Bangi; Bandar Sri Putra, Bangi; Taman Impian Putra; Taman Bangi Villa; Taman Bangi Indah; Bandar Bukit Mahkota, Pekan Bangi Lama, Desa Mahkota Bangi; Mutiara Bangi dan Taman Jernang Jaya.

Sementara itu, Wilayah Sepang melibatkan 12,223 rumah daripada 15 kawasan di antaranya Taman Warisan Bestari; Bandar Baru Salak Tinggi; Taman Kenanga; Kota Warisan; Taman Bunga Raya, Taman Mawar (1,2, Perdana, Emas Villa); Taman Dahlia; Taman Seroja; Taman Ixora; Kampung Geching Hulu; Desa Salak Permai, Taman Anggerik; Jenderam Hilir dan Sungai Buah.EZY

Tiada ulasan: