Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM: Lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid, diarah menyerahkan kembali wang pembayaran gratuiti RM2.6 juta yang diterima mereka kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).
Pembayaran perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas penerimaan surat diutus pengurusan baharu MBI kepada lapan individu itu.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali
berkata MBI mendapati wujud beberapa perkara yang melanggar tatacara dan
peraturan kewangan berhubung pembayaran berkenaan serta syarat kontrak
yang dipersetujui.
“Setelah mendapat nasihat pihak peguam
maka pengurusan baharu memutuskan menghantar surat kepada mereka bagi
memberi peringatan supaya mengembalikan semula wang yang dibayar itu,”
katanya kepada media, selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul
1436 hijrah peringkat Selangor di Stadium Malawati.
Katanya, tindakan akan diambil sekiranya
pihak terbabit tidak mengembalikannya tetapi Kerajaan Negeri memberi
peluang kepada mereka meneliti dahulu surat berkaitan dan berbuat
seperti diarahkan.
“Sudah tentulah mereka kena kembalikan
semula wang berkenaan kepada MBI dan MBI akan meneliti jumlah kelayakan
yang akan dibayar kepada mereka,” katanya.
Sebelum ini, lapan pegawai Abdul Khalid yang dilantik MBI dilaporkan menerima bayaran pampasan bernilai RM2.6 juta.
Pembayaran itu didakwa dibuat pada
penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Azmin mengambil alih
jawatan Menteri Besar.
Hasil semakan laporan audit ke atas
bayaran pampasan itu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 3
Disember lalu mendapati wujud kesalahan dari segi tatacara dan prosedur
pembayaran.
Ia membabitkan lebihan pembayaran kepada
bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha
Politik, Mustapha Mohd Talib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan