Isnin, 26 Januari 2015

Tempahan menteri bocor, MAS nafi digodam

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan penggodam Lizard Squad membocorkan jadual penerbangan dan maklumat tempahan penumpang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) termasuk seorang menteri walaupun syarikat itu menafikan sistem mereka diceroboh.

Dalam posting twitter, Lizard Squad memuatnaikkan imej tawan skrin (screen capture) yang kelihatan seperti sistem e-mel MAS.

Antaranya dalam emel itu, tempahan perjalanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu.

MAS dalam satu kenyataan menafikan bahawa lamanweb dan data penumpang mereka digodam.

"Malaysia Airlines memberi jaminan kepada pelanggan dan klien bahawa lamanweb MAS tidak digodam dan gangguan sementara ini tidak memberi kesan kepada tempahan mereka dan pengguna data tersebut masih selamat," kata kenyataan itu.

Sebaliknya, syarikat itu mendakwa Sistem Nama Domain (DNS) terkesan dan pengguna dilencongkan laman yang digodam.

Tiada ulasan: