Jumaat, 23 Januari 2015

Mahathir hancurkan demokrasi, Syed Ali nyanyuk – SAMM

 
Sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Mahathir-Daim sedang melancarkan serangan demi serangan untuk menjatuhkan Najib.


syed ali-samm


PETALING JAYA: Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Zulkifli Ibrahim menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee sebagai seorang yang sudah nyanyuk.

Menurutnya, tidak perlu untuk Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’GuBard untuk melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Najib Razak.

Ini kerana, menurutnya, perkara itu sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Mahathir dan Tun Daim Zainuddin sedang melancarkan serangan demi serangan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Lihat saja siri tulisan dan kenyataan oleh Mahathir, Daim, Kadir Jasin, Sanusi Junid dan Zainuddin Maidin. Tidak ketinggalan Anuar Mohd Nor, Zaharin Yassin dan ramai lagi pejuang siber UMNO.

“Kesemua mereka berganti-ganti menyerang dan memburukkan Najib. Najib juga tidak ketinggalan menggunakan media arus perdana untuk menyerang Mahathir dan Daim. Apakah ini tidak menunjukkan perang kuasa di antara Najib dan Mahathir-Daim?” soalnya.

Bagaimanapun, Zulkifli tidak menafikan bahawa Mahathir sudah banyak berjasa sepanjang 22 tahun pemerintahannya, namun beliau mendakwa kadar kemusnahan yang dilakukan oleh Mahathir juga tinggi.

“Mungkin Syed Ali Alhabshee yang kononnya seorang pejuang bangsa Melayu ini sudah hilang ingatan di zaman pemerintahan siapakah yang telah menjatuhkan maruah dan menghina Raja-Raja Melayu? Ini adalah satu contoh klasik bagaimana Mahathir merosakkan sistem bernegara,” katanya.

Zulkifli berkata, walaupun beliau tidak pernah menjadi ahli UMNO, tetapi ahli-ahli UMNO harus ingat Mahathir bukan sahaja menghancurkan sistem demokrasi negara malah demokrasi dalam UMNO.

“Kerana Mahathir jugalah UMNO asal yang ditubuhkan pada Mei 1946 telah diharamkan. Kemudian, Mahathir dengan kuasa yang ada telah mencabul sistem perundangan dan menubuhkan UMNO baru.

“Syed Ali Alhabshee ini perlu membuka mata hati untuk menilai Mahathir. Banyak kerosakan nyata dilakukan oleh beliau bukan sahaja memangsakan asas sistem bernegara malah turut menghancurkan UMNO itu sendiri yang telah diasaskan oleh Tun Onn Jaafar.

Semalam, Syed Ali Alhabshee mengutuk gesaan Badrul Hisham Shaharin yang mendakwa kononnya Mahathir Mohamad menjadi punca sebenar kecelaruan politik negara.

Menurut beliau, Chegu Bard, sengaja melontarkan tuduhan tersebut bagi mencetuskan keresahan di kalangan ahli UMNO, menuduh Mahathir mempunyai strategi bagi menjatuhkan Najib serta pada masa sama mengingatkan Pakatan Rakyat (PR) supaya tidak terperangkap dengan strategi tersebut.

Tiada ulasan: