Video yang mencetuskan kontroversi. Video yang mencetuskan kontroversi.
 
 
ALOR SETAR - Madrasah Nurul Hidayah yang diasaskan Mohd Lotfi Ariffin yang terkorban dalam peperangan di Syria tahun lalu bukan tempat untuk melahirkan militan.

Abang sulung Mohd Lotfi yang juga pengasas bersama madrasah itu, Mohd Zainon Ariffin berkata, tanggapan itu terpalit kepada madrasah berkenaan setelah video diterbitkan The New York Times pada 14 Januari lalu tersebar.

“Video itu menggambarkan seolah-olah madrasah ini tempat melahirkan pengganas, sebenarnya madrasah tidak mengajar sesiapa pun menjadi zalim atau ganas. Islam mengharamkan keganasan.

"Madrasah ini wujud sejak 1987 sebagai sebuah pondok pengajian Islam menggunakan kaedah Umumi dan Nizomi,” katanya.

Menurutnya, selepas video itu menjadi viral di laman sosial, beliau dihujani pelbagai maklum balas, termasuk yang negatif.

“Ingin saya perjelaskan kekeliruan yang timbul. Sebenarnya sesi temu bual untuk penerbitan video itu mengambil masa dua hari, termasuk penggambaran sekitar Madrasah Nurul Hidayah. Saya ada bertanya berapa lama siaran dokumentari dan dimaklumkan selama 48 minit, namun video itu hanya disiar sekitar lapan minit,” katanya.

Beliau berkata, video itu tidak memaparkan ucapan penuh beliau sebaliknya disunting dan menyebabkan ucapannya disalah tafsir apabila kata-katanya dimanipulasi.

“Sebenarnya saya menggalakkan pelajar di madrasah meneladani Mohd Lotfi, yang juga dipanggil ustaz kerana beliau antara tenaga pengajar di sini. Saya mahu pelajar mencontohi Mohd Lotfi dalam mencapai ilmu di peringkat tertinggi seperti tekun menuntut ilmu selain menghafaz hingga awal pagi. Pelajar wajib mencontohi kalau mahukan ilmu seperti itu,” katanya.

Menurutnya, sikap Mohd Lotfi yang sentiasa memelihara solat berjemaah setiap waktu juga perlu dicontohi pelajarnya, selain mengamalkan solat dhuha dan sembahyang tahajud.

“Mohd Lotfi juga sering mengulang al-Quran dan sebagai pelajar yang menghormati beliau, mestilah mengikut disiplin itu. Itulah ucapan penuh yang sepatutnya ada dalam video tersebut,” katanya.

Mohd Zainon berharap penjelasan ini dapat menepis dakwaan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan madrasah itu mahupun adiknya dengan aktiviti militan di luar negara.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan akan memantau semua madrasah di negara ini bagi memastikan ideologi militan tidak mempengaruhi pelajar selain tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Khalid menyatakan polis turut memantau Madrasah Nurul Hidayah yang diasaskan Mohd Lotfi yang beroperasi di Kuala Ketil, Baling, Kedah.

Susulan itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya kini memantau semua madrasah di negeri ini termasuk aktiviti yang dilakukan, sebagai langkah awal agar ideologi militan tidak bertapak.