Zahid Hamidi menyampaikan kad pengenalan baharu kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan SK Sayong selepas meninjau keadaan banjir di Pesisiran Sayong dan Lembah Sayong di Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Bernama Zahid Hamidi menyampaikan kad pengenalan baharu kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan SK Sayong selepas meninjau keadaan banjir di Pesisiran Sayong dan Lembah Sayong di Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA KANGSAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta pusat pemindahan di negeri yang terlibat banjir supaya mengumpul data atau maklumat mangsa banjir kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi proses membuat kad pengenalan baharu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memudahkan pihak JPN untuk mengeluarkan gantian kad pengenalan yang telah rosak atau hilang akibat bencana banjir.

"Ini (ganti kad pengenalan baharu) bukan sahaja akan dijalankan di negeri Perak tetapi kita akan melatakan di seluruh tempat yang terlibat. Mangsa banjir yang dokumennya hilang atau musnah diminta datang ke pusat pemindahan.

"Kita harap pusat pemindahan mangsa banjir dapat mengumpulkan maklumat itu dan pegawai JPN terutamanya daripada unit pergerakan pergi ke kawasan berkenaan bagi menyerahkan kad pengenalan baharu gantian," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong di sini hari ini.

Ketika lawatan itu juga, Ahmad Zahid turut menyerahkan kepada 40 penerima pertama kad pengenalan baharu yang meeupakan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan SK Sayong.

Dalam pada itu, beliau turut membawa roti ban yang dihasilkan banduan Penjara Kajang dan Penjara Tapah untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir.

"Ertinya para banduan juga mempunyai keprihatinan untuk membantu mangsa banjir walaupun berada di belakang tembok besi, tembok batu tetapi berhasrat untuk mebantu mangsa-mangsa banjir," katanya. - Bernama