Khamis, 22 Januari 2015

Kuatkuasa GST ketika ekonomi merudum, ibarat mencurah garam ke luka

steven sim 1

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Semakan Belanjawan 2015 perlu mengutamakan 99 peratus rakyat Malaysia biasa dengan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Ahli Parlimen Buit Mertajam, Steven Sim.

Kata Steven, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kenaikan gaji dibekukan, bonus ditangguh, peluang kerja terhad dan kedudukan ringgit melemah berbanding matawang global memberi makna bahawa barangan dan perkhidmatan yang lebih mahal.

“Oleh itu, menguatkuasakan GST pada masa ini seolah-olah ‘mencurah garam ke luka.

“Mengenakan cukai ke atas penggunaan hanya melambatkan pasaran dan mendokong ke lingkaran kemerosotan,’ kata Steven dalam satu kenyataan.

Kata Steven, menteri kabinet dan penyokong GST berhujah kononnya cukai baru itu seperti ‘cahaya di hujung terowong’, dijangka membawa kira-kira RM23.2 bilion bertujuan membantu meningkatkan pendapatan kerajaan ketika harga minyak lebih rendah.

“Walaubagaimanapun, pengecualian cukai baru itu berjumlah kira-kira RM3.8 bilion.

“Tambah tidak produktif, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan pula berjumlah RM13.8 bilion.

“Kerajaaan akan memperoleh keseimbangan pendapatan kira-kira RM5.6 bilion dari cukai baru.
“Ia hanya berjumlah 2 peratus daripada pendapatan yang diunjurkan kerajaan bagi 2015, atau kira-kira RM235.2 bilion,” kata Steven.

Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini menyatakan kerajaan bakal kehilangan pendapatan akibat penurunan harga minyak sekitar RM13.8 bilion, atau kira-kira 6 peratus daripada unjuran asal pendapatan.

Justeru itu, penguatkuasaan GST untuk menampung pembayaran semula hasil minyak adalah ‘jenaka’ kepada 99 peratus isi rumah rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Hanya kerana 2 peratus hasil untuk kerajaan, seluruh rakyat Malaysia dibebankan.

“Sekiranya kerajaan terpaksa ‘mengetatkan tali pinggang’ pada tahun akan datang, apatah lagi kepada rakyat Malaysia biasa,” kata Steven.

Menurutnya, berdasarkan kajian dilakukan Penang Institute, purata isi rumah Malaysia dijangka membayar 2.5 peratus daripada pendapatan bulanan mereka dalam bentuk cukai GST yang berjumlah kira-kira RM1,000 setahun.

“Kelompok yang paling terkesan adalah golongan isi rumah yang berpendapatan rendah dan sederhana,” kata Steven.

“Kerajaan dilihat mengalihkan beban fiskal kepada rakyat Malaysia biasa, dan secara khusus kepada segmen termiskin dalam masyarakat.

“Sedangkan pada masa yang sama kerajaan mengekalkan dana besar berjumlah RM7.8 bilion, hanya kepada Jabatan Perdana Menteri,” kata Steven. – Roketkini.com

Tiada ulasan: