Orang ramai terpaksa menutup hidung ketika berjalan di sekitar bandar Kota Bharu yang kini
berdepan pula masalah persekitaran berdebu selepas banjir surut. Orang ramai terpaksa menutup hidung ketika berjalan di sekitar bandar Kota Bharu yang kini berdepan pula masalah persekitaran berdebu selepas banjir surut.
 
 
KOTA BHARU - Rakyat Kelantan kini berdepan dengan situasi membimbangkan apabila menghadapi persekitaran berdebu kesan banjir yang melanda baru-baru ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati, orang ramai termasuk pembantu jurupam di stesen minyak dan penjual di tepi jalan terpaksa menggunakan topeng muka ketika aktiviti harian kerana cuaca berdebu teruk.

Laluan utama Bandar Kota Bharu yang ditenggelami air sebelum ini, meninggalkan kesan lumpur seolah-olah 'menghilangkan seri' bandar tersebut.

Selain itu, masih banyak premis perniagaan termasuk kedai-kedai makan masih belum beroperasi.

Bahkan ada juga peniaga yang nekad membuka kedai makan mereka selain segelintir peniaga jalanan mengambil kesempatan berniaga walaupun laluan berdebu.

Sekiranya keadaan itu berterusan, ia bukan sahaja berisiko terhadap kesihatan terutama sekali gangguan pada pernafasan, batuk dan sakit mata tetapi keselamatan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di bandar ini khasnya mereka yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan, dinasihatkan supaya mengelak kawasan berdebu atau menggunakan topeng muka ketika berada di luar bangunan.

Seorang penuntut IPT, Rohaizan Rajenun, 19, memberitahu, tumpuannya mengulang kaji pelajaran bagi persediaan peperiksaan akhir semester terganggu apabila berasa tidak berapa sihat disebabkan persekitaran berdebu.

“Saya menghidap asma, sekarang sudah mula-mula batuk dan sukar bernafas.

"Jadi saya meminta supaya langkah drastik diambil segera untuk membersihkan kawasan berlumpur,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, peniaga, Ling Kok Chong, 50, berkata, dia terpaksa memakai topeng muka ketika menjalankan aktiviti harian kerana debu yang tebal.

“Tidak kira kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, mereka perlu berganding bahu selesaikan masalah rakyat ini selain menumpu kerja-kerja membantu mangsa banjir,” katanya.

Berikutan senario itu, farmasi mahu pun kedai yang menyediakan topeng muka mula menjadi tumpuan orang ramai yang ingin membelinya.