Sabtu, 3 Januari 2015

KM arah siap sedia hadapi bencana banjir

MALAYSIAKINI



 
 
 
5.30pm Menurut pegawai Daerah Kota Belud, jumlah mangsa banjir di Kota Belud, Sabah terus meningkat kepada 406 orang petang ini, berbanding 204 tengah hari tadi, lapor Bernama.

4.25pm Semua pegawai daerah di negeri itu diarahkan bersiap sedia menghadapi bencana banjir, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, lapor Bernama.
  
Persediaan itu penting dengan tumpuan kepada membantu mangsa banjir dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan sekiranya keadaan memerlukan, katanya.
  
Musa berkata beliau sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman selaku Pengerusi Bencana Alam negeri memantau persediaan di semua daerah khususnya yang mempunyai risiko dilanda banjir.
  
"Semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan juga perlu bekerjasama memberi bantuan kepada mangsa banjir," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Sijil 1Azam di Sandakan hari ini.

2.55pm Menurut Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Garni Itam, seramai 204 mangsa banjir di Kota Belud dipindah ke pusat pemindahan di Dewan Tun Said sehingga pukul 2 petang ini, lapor Bernama.

2.00pm Sebanyak empat pusat kecil pengumpulan bekalan yang mula beroperasi hari ini diwujudkan Kedah, Melaka dan Perak bagi memudahkan pengagihan bekalan bantuan ke negeri-negeri terlibat dengan bencana banjir, lapor Bernama.
  
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pusat itu bertempat di Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6RAMD) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jitra, Kedah; Dewan Serbaguna Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka; Dewan 2 Briged Markas Staf Stesen Ipoh, Perak dan Dewan Piyuntinan Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra di Ipoh.
 
"Pusat berkenaan akan beroperasi 24 jam dan diwujudkan bagi menerima bantuan daripada pusat pengumpulan utama serta sumbangan daripada kawasan setempat.
  
"Pusat ini diuruskan oleh Markas, Briged dan Unit Tentera di negeri atau kawasan tertentu," katanya kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di Petaling Jaya hari ini.

1.00pm Keadaan banjir di Semenanjung Malaysia semakin reda namun hujan lebat di Sabah menyebabkan banjir kilat di beberapa bandar utama negeri antaranya di Tawau dan Kota Belud.

12.30pm Lebih daripada tiga persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom melancarkan tabung mangsa banjir untuk membantu mangsa pulang ke rumah, lapor Bernama.

Terdapat pelajar Malaysia yang bimbang kerana tidak dapat berhubung dengan keluarga mereka selama beberapa hari ekoran terputus hubungan atau keluarga mereka berpindah ke pusat pemindahan.

11.30am NGO Abim menggesa kerajaan Kelantan mengumumkan pelan tindakan segera memulihkan penempatan semula mangsa banjir di negeri itu.

Dalam kenyataannya, Presiden Amidi Abdul Manan berkata kelewatan pengumuman itu boleh menyebabkan gangguan terhadap perancangan masa depan mangsa yang terlibat.

"Sepanjang pengamatan pihak kami banyak premis sekolah di kawasan bencana yang belum dibersihkan. Dalam masa yang sama juga ramai guru turut menjadi sebahagian daripada mangsa banjir," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan penularan penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa jika tiada tindakan untuk mengurangkan sampah sarap di kawasan yang teruk di landa banjir khususnya di Kuala Krai dan Gua Musang.

11am: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2 di Gua Musang mendakwa berdepan catuan makanan sejak semalam, lapor Sinar Harian Online hari ini.

Mangsa mendakwa sebelum ini diberikan makanan sebanyak tiga kali sehari tetapi hanya sekali sehari bermula semalam dan ia perlu dituntut pada jam 3 petang.

Laporan itu juga menyebut, ekoran catuan tersebut, ada mangsa banjir mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membeli makanan di luar dengan harga yang tinggi.

11am: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengenalpasti punca banjir luar biasa dan terburuk, yang melanda negeri di pantai timur, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Laporan itu memetik Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasinal (NCC) Muhammad Shaani Abdullah berkata penubuhan RCI bertujuan membongkar faktor penyumbang bencana itu dan menyediakan kerangka dan langkah pemulihan.

Beliau berkata penerokaan tanah berleluasa bukan satu perkara baru dan pembangunan tanpa menitikberatkan alam sekitar boleh mencetuskan kerosakan.

"Ini adalah satu 'wake-up call' yang perlu diberi perhatian serius," katanya dipetik.
 

Tiada ulasan: