Selasa, 6 Januari 2015

K'jaan digesa jadi 'jantan', tubuh RCI balak

MALAYSIAKINI


 


Sebuah NGO hari ini mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan skandal balak di Kelantan yang dikatakan menjadi punca kepada bencana banjir di negeri itu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat pihak bertanggungjawab dalam isu itu.

"Saya mohon kerajaan pusat menunjukkan kejantanan dengan menubuhkan RCI untuk siasat skandal balak,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ditanya mengapa suruhanjaya itu perlu ditubuhkan hanya untuk menyiasat bencana banjir di Kelantan, Ramesh - yang melihat keadaan banjir di negeri itu - berkata ia berikutan banjir yang luar biasa melanda negeri itu.

Katanya lagi, bencana tersebut dan dakwaan skandal pembalakan di Kelantan perlu disiasat kerana mendakwa terdapat kawasan yang dilawati mempunyai kayu balak yang tersadai.

"Kalau nak kata, punca banjir kerana hujan memang tak masuk akal. Kerana aliran tanah (lumpur) yang datang daripada bukit cukup dahsyat.

'Hanyutkan rumah'

"Kalau di Terengganu, (banjir di sana) senario biasa. Tak sampai hanyutkan rumah. Tak nampak balak tersadai tengah jalan.

"Tapi di Kelantan, kita nampak balak atas rumah, di tengah jalan. Banjir di kemaman banjir biasa yang berlaku setiap tahun," kata Ramesh lagi.

Justeru, Ramesh juga meminta supaya panel yang akan dilantik sekiranya RCI itu ditubuhkan terdiri daripada panel bebas dan bukan ahli politik.

"Kalau boleh jangan lantik orang politik tetapi lantik panel bebas yang ada kepakaran alam sekitar bagi tujuan ketelusan siasatan. Ini untuk masa depan rakyat," katanya lagi.

Hujan lebat berterusan selama 48 jam di Kelantan terutamanya di kawasan Ulu Kelantan - Gua Musang dan Kuala Krai - bermula pada  22 Disember 2014 mengakibatkan bencana banjir di negeri itu dianggap terburuk selepas 1969.

Berikutan banjir itu, terdapat juga mangsa banjir yang cemas apabila rumah yang didiami mereka dirempuh sebatang kayu balak semasa banjir di pekan Rantau Panjang.

Tiada ulasan: