Sabtu, 10 Januari 2015

Kes Tumbuk : KJ Belum Jumpa Iruan Dapatkan Penjelasan

RAKYATNEWS


alt



SUBANG JAYA  - Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin memberitahu, beliau belum lagi bertemu dengan Pegawai Khasnya, Mohamad Iruan Zulkefli bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiden `tumbuk’ yang berlaku di Dewan Kampung Kelantan, Lenggong, Khamis lepas.

Menurutnya, beliau tidak sempat untuk bertemu dengan Ketua Pemuda UMNO Lenggong itu dan akan berbuat demikian dalam tempoh segera.

“Saya difahamkan, ada laporan polis dibuat mengenainya (Iruan), jadi saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk buat sebarang siasatan terhadap kes itu.

“Sekiranya ada apa-apa yang perlu dijawab saya yakin saudara Iruan akan dapat memberi keterangan kepada polis.

“Saya juga berharap agar beliau dapat memberikan kerjasama sepenuhnya berhubung perkara itu,” katanya ketika ditanya pada sidang akhbar di Universiti Sunway pada Sabtu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau hanya mengetahui berkenaan apa yang telah berlaku mengaitkan pegawai khasnya itu menerusi aplikasi WhatsApp yang diterima serta beberapa saluran lain.

“Saya tak  pasti, sampai hari ini, Lillahi Taala, saya tak sempat untuk bincang dengannya,” ujar beliau.

Terdahulu, sebelum itu, Khairy  memberikan ucapan serta merasmikan Persidangan Kepimpinan Asia 2015.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Bahagian Lenggong, Saad Abdul Rahman mendakwa cedera di muka dan menerima tiga jahitan, akibat ditumbuk Iruan yang merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian sama ketika majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir diadakan di Dewan Kampung Kelantan, Lenggong.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 2.25 petang, ketika Saad bersama dua rakannya, termasuk seorang daripadanya pemandu kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, tiba di dewan berkenaan bagi mengiringi Shamsul yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong, menghadiri majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Insiden dikatakan tercetus apabila mangsa mendakwa dihampiri seorang lelaki yang dikenalinya sebagai Iruan, yang tiba-tiba menerpa ke arah beliau dan meminta PERKASA jangan menganggu urusan Pemuda UMNO.

Tiada ulasan: