Rabu, 14 Januari 2015

Kes Altantuya: Siapa, apa dan mengapa

MALAYSIAKINI


 


Kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariiibuu telah berakhir dengan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dihukum mati.

Perbicaraan itu menyaksikan 75 saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan hanya memanggil Azilah dan Sirul.

Terdapat beberapa persoalan yang masih berlegas di minda, seperti:

  • Mengapa ada perubahan hakim dan pendakwa?
Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kes itu pada mulanya dijadual didengar oleh Hakim KN Segara, yang dikenali sebagai seorang hakim yang tegas.

Segara telah mendengar rayuan tiga tertuduh (termasuk penganalisis politik Abdul Razak Baginda) apabila mereka mula-mula dihadapkan ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, kes itu kemudian dipindahkan untuk didengar oleh Hakim Mohd Zaki Yasin. Segara kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan di mana beliau kemudiannya bersara.

Terdapat juga perubahan pendakwa dan juga bekas ketua pendakwaan Selangor Sallehuddin Saidin digantikan pada saat-saat terakhir dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang dikenali rapat dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, manakala Sallehuddin pula rapat dengan bekas peguam Ketua II Mohd Yusof Zainal Abiden.

Sallehuddin akhirnya berhenti daripada Pejabat Peguam Negara. Tun Abdul Majid juga mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tipu terhadap bekas menteri pengangkutan Dr Ling Liong Sik yang melibatkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Turut menarik perhatian ialah hakikat bahawa peguam Wong Kian Kheong, yang dikatakan rapat dengan peguam negara, telah mewakili kedua-dua Abdul Razak dan Ling.

Wong pada mulanya berkhidmat di Pejabat Peguam Negara tetapi beliau kemudiannya menyertai Lee Hishammuddin, sebuah firma guaman yang diasaskan oleh sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang ketika itu menteri dalam negeri.

Wong telah pun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
  • Mengapa dan siapa Azilah telefon?
Azilah telah menelefon seorang individu yang tidak dikenali sebanyak dua kali dari Puncak Alam (tempat kejadian) selepas jam 11 malam pada 19 Oktober 2006 sebelum pembunuhan berlaku, berdasarkan rekod telefon bimbitnya. Mengapa dan siapa yang dihubunginya?
  • Mengapa motif tidak dijelaskan?
Hakim Mohd Zaki tidak menyentuh motif di sebalik pembunuhan Altantuya, dan memutuskan bahawa ia bukan satu keperluan kepada kes pembunuhan itu.
  • Mengapa pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu?
Ini ekoran apa yang mereka dakwa sebagai dapatan fakta dalam afidavit penganalisis politik itu berkenaan dengan permohonan ikat jaminnya. Afidavit itu tidak diperolehi sepenuhnya oleh media.

Afidavit itu telah difailkan oleh Wong apabila Sirul dan Azilah ditangkap, dengan menuding jari pada mereka.
  • Mengapa Sirul mendakwa dia telah dijadikan sebagai "kambing hitam" untuk melindungi "rancangan mereka" dan siapa yang dia maksudkan?
     
  • Adakah kedua-dua anggota polis ini bertindak atas kehendak mereka sendiri? 
       
  • Apakah peranan DSP Musa Safri - bekas adikong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - hanya terhad kepada menghantar Azilah ke rumah Abdul Razak di Damansara Heights dan pejabat di Jalan Ampang untuk menyelesaikan masalah?
     
  • Apakah peranan yang dimainkan oleh Altantuya dalam perjanjian Kementerian Pertahanan dalam pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis yang bernilai berbilion ringgit? Adakah dia tahu sesuatu lebih daripada itu?
(Kerajaan telah melantik Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Abdul Razak, yang mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, untuk membeli dan menyelenggara kapal selam sewaktu Najib menjadi menteri pertahanan)
  • Adakah Najib kenal Altantuya seperti yang didakwa dalam Akuan Bersumpah (SD) pertama P Balasubramaniam yang menurutnya adalah berdasarkan apa yang Abdul Razak beritahu kepadanya?
Balasubramaniam dikatakan dipaksa menarik balik SD pertama itu dan menandatangani SD kedua. Dia didakwa telah dibantu oleh peguam kanan Datuk Cecil Abraham, yang kini disiasat oleh Lembaga Tatatertib peguambela dan peguamcara.

Selepas itu, Balasubramaniam dan keluarganya berlepas ke India selepas didakwa diminta berbuat demikian selama lima tahun sebelum pulang pada tahun 2013. Penyiasat persendirian itu meninggal dunia akibat sakit jantung tidak lama selepas itu.

Najib telah bersumpah dalam masjid pada tahun 2008 bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan Altantuya.

Keluarga Balasubramaniam telah memfailkan saman RM1.9 juta terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Cecil, serta enam orang lain, tetapi saman itu telah ditolak bulan lepas.

Tiada ulasan: