Mushaimi Mat Sarip, 53, hanya mampu melihat rumahnya musnah akibat banjir besar melanda
Temerloh, Pahang, baru-baru ini. Mushaimi Mat Sarip, 53, hanya mampu melihat rumahnya musnah akibat banjir besar melanda Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
 
 
PUTRAJAYA - Kerajaan menawarkan beberapa pilihan penempatan sementara untuk mangsa banjir di Kelantan, termasuk rumah kabin dan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) semasa pembinaan semula rumah tetap dijalankan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tawaran itu dibuat kerana pembinaan rumah tetap akan mengambil masa agak lama.

Menurutnya, mangsa banjir boleh tinggal sementara di rumah disediakan kerajaan.

“Kita anggar 2,000 hingga 3,000 rumah musnah di Kelantan. Oleh itu, kita tawarkan untuk menyelesaikan masalah perumahan melalui beberapa fasa. Pertamanya ialah untuk sediakan perumahan sementara.

“Ini akan memerlukan sedikit masa bagi membina rumah tetap, jadi kita cari opsyen tertentu untuk sediakan rumah sementara ini,” katanya kepada media, semalam.

Abdul Rahman memberitahu, dalam mesyuarat Kabinet semalam juga dibincangkan banyak pilihan perumahan sementara itu.

“Jika guna kabin sudah tentu cepat, tetapi saiz agak kecil. Kita juga tawarkan aset kerajaan seperti (rumah) PPR yang siap dibina di Gua Musang. Ada 1,000 unit, tetapi belum dihuni, jadi boleh digunakan sebagai rumah sementara sebelum rumah tetap dibina.

“Aset lain seperti kem untuk Program Latihan Khidmat Negara dan kuarters kerajaan yang tidak dihuni juga boleh digunakan,” katanya.

Jelasnya, kementeriannya akan menumpukan usaha pembersihan dan memantau pembaikan serta pembinaan rumah mangsa banjir.

Mengulas cadangan rumah kabin itu yang dikhuatiri tidak sesuai dibuat di negara beriklim panas seperti Malaysia, beliau berkata ia akan diubah suai untuk keselesaan mangsa banjir.

“Kita ubah suai kabin itu, saya telah lihat modelnya, ada bumbung. Ini adalah penyelesaian sementara bagi menunggu rumah dibaiki dan rumah musnah dibina semula.

“Kos untuk rumah kabin tidak besar dalam anggaran RM50,000 seunit,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Pusat, katanya, sedang menumpukan sepenuhnya kebajikan rakyat Kelantan dan mahu mengetepikan isu-isu politik atau tuduh-menuduh.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu mangsa banjir. Apa yang penting rakyat Kelantan mahu Kerajaan Pusat fokus kebajikan mereka," katanya.