Isnin, 12 Januari 2015

Kegilaan Remaja Terhadap K-Pop Adalah Salah Kerajaan Juga

shahbudindotcom


Sepanjang hari ini media sosial dipenuhi dengan kecaman pelbagai pihak mengenai perbuatan beberapa remaja  perempuan bertudung yang bercium dan berpeluk dengan artis K-Pop Korea Selatan,  Kumpulan K1A4.

Ia berikutan tersebarnya video yang menunjukkan gadis-gadis bertudung naik ke pentas sebelum berpelukan dan ada yang dicium oleh artis tersebut, sambil mendapat sorakan penonton.

Walaupun kelihatan malu-malu tetapi gadis bertudung itu nampaknya rela dipeluk oleh artis K-Pop yang bertali leher dan memakai jaket yang melakukannya bukan sebagai acara spontan, tetapi secara sengaja.

Aksi mesra gadis-gadis bertudung itu dipercayai dirakam di sebuah pusat hiburan di ibu kota di mana artis Korea Selatan itu mengadakan pertunjukannya, malam semalam.

Aksi-aksi yang tersebar di laman sosial itu segera membangkitkan kecaman ramai terhadap perlakuan tidak sopan dan melanggar hukum agama, tambahan lagi dilakukan oleh remaja yang menutup aurat.

Mereka dianggap sebagai remaja murahan, membelakangkan adat budaya Melayu serta mencemarkan kesucian Islam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut terpanggil memberi reaksi dengan menulis di twitternya, "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tinggi, gelap dan hensem. Bukan putih pucat, kurus dan cantik. Itu bukan lelaki sejati."

Secara umumnya memang ramai yang marah, kecewa dan meluat dengan perlakuan gadis-gadis yang dianggap tidak sopan itu. Kegilaan dan keterujaan terhadap artis K-Pop membuatkan mereka seolah-olah lupa asal-usul, budaya sendiri serta anutan agama yang seharusnya membentengi diri mereka daripada perlakuan tidak sopan, memalukan diri sendiri serta keluarga.

Sudah tentu, selain gadis-gadis remaja tersebut yang dipersalahkan, ibu bapa mereka juga turut terpalit sama dengan dianggap tidak memberi didikan yang sehabis baik kepada anak masing-masing.

Kegilaan golongan remaja terhadap artis adalah perkara biasa. Daripada Hollywood, Bollywood, artis tempatan sehinggalah K-Pop, mereka ini sentiasa digilai oleh sesetengah masyarakat kita silih berganti, terutamanya golongan remaja.

Tetapi dalam konteks kegilaan remaja negara kita terhadap artis K-Pop ini, selain perkembangan semasa di seluruh dunia yang menyebabkan mereka begitu digilai, kerajaan sendiri sebenarnya ada saham dalam menabur benih dan menambah-suburkan lagi keterujaan terhadapnya.

Dalam dua acara besar iaitu Sambutan Hari Belia pada 2012 dan Perayaan Tahun Baru Cina 2013 di Pulau Pinang, kerajaan sendiri nampaknya turut teruja dan "syok" terhadap artis K-Pop ini. Kedua-dua acara itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam sambutan hari belia itu, kerajaan dikatakan membayar RM1.6 juta untuk membawa tiga kumpulan artis remaja K-Pop memeriahkannya sehingga menimbulkan pelbagai kecaman tentang kos dan kewajarannya manakala pada sambutan Tahun Baru Cina pula, artis Psy yang popular dengan tarian Gangnam dikatakan dibayar sebanyak RM2 juta untuk membawanya ke sini.

Walaupun bahasa nyanyian mereka tidak difahami, hanya berdasarkan godaan tarian dan wajah cantik semata-mata, dengan sedia membayar harga mahal untuknya, ia tidak lain memperlihatkan kerajaan sendiri teruja dan "gila" dengan budaya K-Pop ini.

Apabila kerajaan sendiri sudah membuka ruang seluas-luasnya mengenai kekaguman terhadap artis K-Pop ini, maka janganlah disalahkan jika golongan remaja dan muda-mudi lebih "syok"dan "stim" dengannya.

Melalui apa yang ditunjukkan oleh kerajaan itu juga menyebabkan banyak pihak swasta dan penganjur hiburan turut tegila-gila sama membawa artis Korea Selatan itu.

Memanglah perlakuan yang ditunjukkan oleh remaja-remaja betudung ini adalah gerak hati peribadi mereka sendiri sebagai golongan muda, tetapi kerajaan sendiri tidak harus lepas tangan daripada mengakui mempunyai saham dengan turut menyemai benih dan menyiram lagi kegilaan terhadap artis K-Pop itu.

Jika tanpa kerajaan sendiri secara langsung menunjukkan kegilaan terhadap K-Pop ini, keterujaan remaja kita mungkin hanya "biasa-biasa saja"  dan tidak sampai kepada merelakan diri mereka dipeluk dan dicium sesuka hati.

Bukankah pepatah selalu mengingatkan, "apa yang disemai, itulah  juga yang tumbuh?" 

Najib pun teruja sama dengan K-Pop...


Kerajaan melalui Hari Belia turut 'merosakkan' jiwa remaja dengan K-Pop..

Tiada ulasan: