Jumaat, 23 Januari 2015

Kegagalan Zahid jadikan Malaysia transit militan IS?

zahid_hamidi

Oleh ER TECK HWA 



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China Meng Hongwei memaklumkan bahawa lebih 300 rakyat China menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum ke negara ketiga dan seterusnya memasuki Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan militan IS semasa pertemuan mereka di pejabat Ahmad Zahid semalam.

Mengapa sebelum ini perkara ini tidak didedahkan dan tiada tindakan diambil? Adakah Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai maklumat berhubung perkara ini sehinggalah diberitahu oleh pemimpin negara China? Adakah Risikan Cawangan Khas PDRM tidak melakukan kerja mereka untuk memintas kumpulan-kumpulan ini semasa mereka transit di sini?

Lebih 300 orang rakyat China ini bukanlah satu angka yang kecil apatah lagi mereka-mereka ini adalah merupakan kelompok yang ingin menyertai kumpulan militan. Menteri Dalam Negeri perlu menjawab persoalan ini memandangkan sekian tahun Malaysia dianggap sebagai negara transit dalam sindiket pemerdagangan manusia. Siri kegagalan kita dalam menjaga pintu masuk kita akhirnya telah digunakan sepenuhnya oleh kumpulan militan.

Kementerian Dalam Negeri sangat pantas bergerak dan menangkap aktivis dan pemimpin politik tempatan yang kritikal terhadap pemerintah tetapi dalam isu Malaysia menjadi transit untuk sindiket pemerdagangan manusia dan kumpulan militan, agensi-agensi KDN seolah-olah tidak mempunyai pengetahuan langsung.

Zahid juga mengatakan masalah menangani keganasan ini berat kerana jalinan di peringkat antarabangsa di antara pengganas-pengganas dari China dengan dari negara lain di rantau Asia Tenggara.

Akan tetapi, di peringkat negara juga mempunyai jalinan kerjasama antara negara bagi memerangi keganasan. Malah, Kertas Putih berhubung IS juga telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen Malaysia tetapi perlaksanaan langkah pencegahan masih lagi ditakuk lama.

Ini bukan lagi persoalan bahawa kita tidak mempunyai Akta Pencegahan Keganasan. Kita telah mempunyai SOSMA dan Kanun Keseksaan yang boleh diguna untuk menahan suspek pengganas tetapi sebenarnya adalah kelemahan dan ketidakmampuan Menteri Dalam Negeri dalam bertindak.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri sering membuat kenyataan akhbar berhubung aktiviti keganasan hanya untuk menimbulkan ketakutan dan kesangsian rakyat sahaja. Hakikatnya, KDN terus gagal dalam menghalang penularan perkara ini di kalangan rakyat kita dengan tuntas.

Ataupun Zahid sememangnya terlalu sibuk dengan kerja-kerja luar mempertahankan ‘Raja Judi’ sehingga tidak lagi fokus menjaga keselamatan dalam negara. Kegagalan demi kegagalan Zahid melayakkan beliau diberhentikan tugas serta merta.

Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk segera menukar Menteri Dalam Negeri kepada individu yang lebih layak berbanding Zahid. – Roketkini.com

Tiada ulasan: