MALAYSIAKINI
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan
bekas aktivis sosial dan politik Dr Kassim Ahmad untuk menangguhkan
sebarang tindakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
terhadapnya yang berdepan tiga pertuduhan menghina Islam di Mahkamah
Tinggi Syariah.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas menyemak penghujahan bertulis yang dikemukakan kedua-dua pihak.
Peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Kassim, memberitahu pemberita
berikutan keputusan itu, JAWI atau pegawainya ditegah daripada mengambil
sebarang tindakan atau meneruskan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah
sementara menunggu kes rayuannya diselesaikan di Mahkamah Rayuan.
Kassim merayu terhadap keputusan Asmabi pada 6 Januari yang menolak
permohonan beliau untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Ketua
Pendakwa Syarie Wilayah
Persekutuan untuk mendakwa beliau di Mahkamah Tinggi Syariah terhadap tiga pertuduhan menghina Islam.
Rosli berkata beliau akan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah
supaya menangguhkan kes Kassim yang ditetapkan untuk perbicaraan hari
ini. Mahkamah Tinggi Syariah menangguhkan perbicaraan bagi kes itu
disebut pada 16 Februari.
Asmabi, ketika menolak permohonan semakan kehakiman Kassim, berkata
Kassim tidak seharusnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman sebuah
agensi penguatkuasaan di Mahkamah Sivil memandangkan kes itu berada
dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Hakim itu berkata bagaimanapun, Kassim boleh memohon remedi di Mahkamah
Sivil berkaitan dakwaan beliau ditangkap dan ditahan secara tidak sah.
Kassim, 82, memfailkan permohonan pada 26 Jun tahun lepas, memohon
perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Ketua Pendakwa Syarie
pada 27 Mac tahun lepas, untuk mendakwanya kerana didakwa menghina Islam
dan mengingkari arahan pihak berkuasa.
Beliau memohon agar kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya
digantung sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman itu.
Beliau turut memohon perintah untuk mengetepikan semua waran tangkap,
geledah dan sita selain bon serta perisytiharan bahawa pegawai JAWI dan
pendakwaan bertindak di luar bidang kuasa mereka.
Beliau mendakwa pegawai dan pendakwa Jawi itu melanggari peruntukan
Perlembagan Persekutuan, Akta-Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan
Enakmen-Enakmen Syariah Kedah, dalam tindakan mereka terhadapnya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan