Kamal Adli Kamal Adli


SEJAK minggu lalu, berita mengenai perpisahan pasangan selebriti, Zizan Razak dan Emma Maembong, mula diperkatakan sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi dan tanda tanya.

Walaupun masing-masing tidak memberitahu bahawa puncanya adalah 'orang ketiga', namun pelakon drama aksi, Antidot, Kamal Adli, turut diheret sama dalam konflik ini.

Malah, ada yang memperkatakan, Kamal adalah punca keretakan hubungan pasangan berkenaan apatah lagi gosip mengenai Kamal dan Emma mula tersebar sejak penghujung tahun lalu.

"Kenapa nak kaitkan saya dalam hal ini? Saya langsung tidak terlibat dalam perpisahan mereka! Saya sendiri tak faham kenapa saya yang dikaitkan dengan mereka. Padahal saya tak pernah pula keluar bersama Emma berdua-duaan sebelum ini.

"Pada tahun lalu, saya dikatakan telah mengambil Emma di lapangan terbang ketika dia pulang daripada Bangkok. Mana ada! Kalau ada bukti, sila kemukakan atau boleh sahaja periksa di Rakaman Litar Tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

"Saya tak pernah cuba nak dekati Emma kerana Zizan pun kawan saya juga," katanya yang agak tertekan dengan tuduhan sedemikian.

Tambah Kamal, dia meminta agar masyarakat jangan cepat melatah dengan penyebaran gosip seperti ini yang boleh menjejaskan namanya.

"Selepas saya putus cinta, saya tak ada pula dekati mana-mana perempuan. Saya masih solo sehingga kini dan malas nak fikir pasal pasangan lagi buat masa ini.

"Bila dikaitkan dalam kontroversi ini, orang akan nampak saya yang jahat. Memang saya tertekan namun, Emma awal-awal lagi hubungi saya menerusi aplikasi, WhatsApp, dan memohon maaf," katanya yang sebelum ini digandingkan bersama dengan Emma menerusi
drama, Syurga Tanpa Cinta.

Walaupun pernah bergandingan bersama Emma menerusi drama itu, namun Kamal memberitahu, hubungan mereka hanya ketika berada di set sahaja.

"Dalam drama itu, Emma adalah isteri saya. Namun, di luar set, kami tidak pernah pula menghubungi antara satu sama lain. Tak pernah pula terfikir nak bawa Emma keluar tanpa pengetahuan Zizan," tegasnya.