Isnin, 12 Januari 2015

Isu K-Pop: Gadis Bertudung Terlampau Wajar Ditahan

KELAB GREENBOC



 
 
K-Pop: Jawi Minta Tiga Wanita Bertudung Tampil

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung aksi sumbang yang berlaku pada konsert kumpulan pop korea (K-Pop), B1A4 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya kesal terhadap perbuatan peluk dan cium antara ahli kumpulan K-Pop berkenaan dengan beberapa peminat wanita beragama Islam yang bertudung.

Katanya, perlakuan beberapa peminat itu dilihat melampaui batas dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Sehubungan itu, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 599) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

"Mereka yang terlibat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop tersebut bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi sehingga menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial.

Paimuzi berkata, akta itu memperuntukkan individu yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah suatu kesalahan.

"Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau menambah, Jawi akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti dan keterangan yang mencukupi. -mstar


K-pop: Siasat penganjur, tahan gadis

Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini menggesa pihak berkuasa supaya melakukan siasatan ke atas penganjur Konsert K-Pop yang bertajuk “Let’s Fly! with B1A4 & Acer” berikutan kejadian “cabul” ketika program tersebut Sabtu lalu.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah juga turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan supaya tidak berdiam diri dalam isu tersebut.

“Siapa punya masalah ni dan siapa punya perancangan ni? Adakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan?” soalnya.

Abdul Rani turut meminta supaya gadis-gadis yang “dicabul” itu ditahan, seterusnya menyatakan kekesalannya terhadap pihak penganjur yang tidak sensitif dengan adab-adab dan peraturan yang harus dipatuhi di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak penganjur program tersebut yang membenarkan adegan mesra dengan gadis-gadis bertudung adalah amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

“Susahlah macam ni nak terapkan nilai Islam. Kita sibuk tidak mahukan konsert dan pesta bagi menyambut ambang tahun baru serta minta supaya diadakan malam selawat ke atas Nabi Muhammad.

“Tetapi selepas itu, ada pula segelintir penganjur yang bawa artis luar dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Macam mana ni?” katanya kepada Free Malaysia Today selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, hari ini.

B1A4 adalah kumpulan muzik Korea Selatan yang dianggotai lima jejaka yang membuat penampilan sulung pada 2011. Bernaung di bawah label WM Entertaintment, kumpulan ini turut melebarkan sayap di Negara Matahari Terbit pada lewat 2011. Kumpulan tersebut sudah melahirkan satu album studio, lima EP dan pelbagai single di negara kelahiran mereka.

Video perjumpaan dengan peminat berdurasi tiga minit 21 saat tersebut menunjukkan aksi beberapa gadis bertudung naik ke pentas konsert ketika sesi bertemu peminat. Terdapat aksi mereka berpelukan , dicium dan dirangkul oleh anggota kumpulan berkenaan, yang mencetuskan viral di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai. Lebih mengejutkan apabila salah seorang gadis tersebut yang kelihatan teruja dipeluk oleh ahli kumpulan B1A4 itu membalas pelukan tersebut dengan dakapan erat.

Malah, pengacara meminta seorang gadis bertudung melakonkan salah satu aksi lakonan semula babak-babak romantis drama Korea, di mana kononnya gadis tersebut sedang melakukan kerja rumah, kemudian salah seorang ahli B1A4 datang dari arah belakang dan terus memeluk gadis berkenaan .

Sehubungan itu, TGM Events tampil membuat kenyataan berikutan penyebaran beberapa gambar dan video memaparkan beberapa gadis Melayu bertudung dicium serta dipeluk anggota B1A4 menjadi bahan sensasi dan kritikan orang ramai di internet sejak semalam.

TGM Events yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menjelaskan bahawa para peminat terbabit dipilih secara rawak dan tidak diketahui sesiapa.

Dalam kenyataan di laman Facebook, penganjur konsert berkenaan mendakwa peminat yang diundang ke atas pentas dalam konsert itu melakukan aksi dengan anggota kumpulan berkenaan tanpa paksaan.

Menurut kenyataan itu, sebagai syarikat yang diterajui wanita, mereka tidak akan membenarkan sebarang pencabulan serta gangguan seksual berlaku.

Dalam pada itu, mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir media yang didakwa melanggar etika kewartawanan dengan menggunakan terminologi tidak sepatutnya dalam laporan mereka.

Dalam perkembangan serupa, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha menyifatkan insiden tersebut sebagai, “Amat memalukan umat Islam.”

MyMetro melaporkan, beliau amat yang kesal dengan insiden tersebut berkata, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dan mempersoalkan tindakan penganjur yang tidak merujuk pihaknya mengenai penganjuran konsert berkenaan.
-FMT

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: