Sabtu, 10 Januari 2015

IGP: Tiada rekod penembak Paris masuk M'sia

MALAYSIAKINI


 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan yang menyebut penembak Paris, Amedy Coulibaly dan teman wanita lelaki tersebut pernah bercuti di Malaysia.

Khalid yang menamakan wanita tersebut sebagai "isteri" Amedy mengumumkan perkara itu di Twitter.

"Semakan PDRM mendapati Amedy Coulibaly dan isterinya Hayat Baumeddienne tidak pernah dikesan masuk ke Malaysia," kata Khalid.

Bercakap kepada Malaysiakini, Khalid menegaskan yang Malaysia adalah tumpuan pelancongan yang popular.

Justeru, mengaitkan mana-mana individu yang mengunjungi Malaysia dengan aktiviti keganasan adalah tidak bertanggungjawab.

"Kita minta agar negara-negara lain yang dikunjunginya (Amedy) turut didedahkan berdasarkan pasportnya.

"Biar saya tegaskan bahawa Malaysia adalah selamat dan kita sentiasa dan akan terus memastikan sebarang ancaman ke atas negara kita terkawal dan dikekang," kata Khalid kepada Malaysiakini.

Tabloid UK, The Daily Mail memetik seorang jiran Amedy yang mendakwa Amedy dan Baumeddienne pernah berkunjung ke Malaysia.

Namun, tarikh sebenar kunjungan yang didakwa itu tidak dapat dipastikan.

Amedy ditembak mati di sebuah pasar raya di Vincennes semalam selepas menahan seorang tebusan.

Dia disyaki bersubahat dengan dua orang suspek tembakan di pejabat mingguan satira Charlie Hebdo di Paris, Rabu lalu yang mengorbankan 12 orang.

Hayat Baumeddienne pula dilaporkan dalam buruan dan sedang melarikan diri.

Tiada ulasan: