Khamis, 8 Januari 2015

Hujan lebat punca banjir Kelantan, bukan projek hidroelektrik - Pakar

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic



SHAH ALAM: Pakar geologi Profesor Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa pembinaan projek Hidroelektrik Hulu Terengganu menjadi punca banjir buruk yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Katanya, empangan Tasik Tembat dan Tasik Pauh yang digunakan untuk penjanaan elektrik adalah dua kawasan berlainan dengan kawasan tadahan terlibat banjir.

"Empangan Tembat dan Pauh itu di dalam kawasan tadahan yang berlainan daripada kawasan tadahan yang menyebabkan banjir.

"Jadi tak mungkin empangan Tembat dan Pauh boleh mengalir ke sana … menghala ke Gua Musang atau Kuala Krai sebab kawasan tadahan itu akan mengalir ke arah hilir (iaitu) empangan Kenyir. Jadi tiada kaitan dengan banjir di Kelantan," katanya kepada Antarapos.

Kekeliruan mengenai perkara ini timbul selepas seorang pemilik akaun Facebook bertindak berkongsikan teorinya bersabit punca musibah itu melanda Kuala Krai, Manik Urai, Dabong, Gua Musang dan beberapa daerah lagi.

Seorang pemilik akaun Facebook, Johar Othman yang tidak diketahui latar belakangnya mendakwa pembinaan empangan itu menyebabkan aliran air hujan sepanjang musim tengkujuh tidak dilepaskan ke Tasik Kenyir kerana akan memusnahkan pembinaan empangan Kenyir 2, yang bernilai jutaan ringgit.

Pendedahan teori itu menarik perhatian pelayar internet dengan catatan sebanyak 6,474 perkongsian oleh pelayar Facebook yang lain dan ramai yang mula menimbang kesahihan teori itu.

Dr Tajul berkata, rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan yang melanda Kelantan tempoh hari adalah bersamaan dengan jumlah hujan lebih kurang 60 hari.

"Memang puncanya hujan biasa lebat, orang kata hujan tak lebat (tapi) memang hujan lebat di Kuala Krai, Gua Musang. Tapi di bahagian hulu hutan dekat gunung siapa yang tahu?

"Memang hujan luar biasa lebat dan ada rekod Jabatan Meteorologi menunjukkan jumlah air hujan yang turun dalam masa 4-5 hari tu daripada 22-26 Disember sama macam 64 hari ke 54 hari jumlah hujan di Kelantan," ujar beliau.

Malah Dr Tajul menasihatkan orang ramai menyelidik terlebih dahulu mengenai kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

"Biasalah orang suka kongsi perkara-perkara yang sensasi jadi berita tu mungkin tak benar. Sekadar khabar angin, benda sensasi macam ni orang cepat sebarkan tanpa selidik dulu kesahihannya padahal pihak TNB pun dah menafikan perkara itu," katanya.

Beliau menegaskan pembinaan projek tersebut perlu bagi meningkatkan lagi jumlah penjanaan elektrik, selain telah mendapat kebenaran daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan kerajaan.

Tiada ulasan: