banjir
 
 
SHAH ALAM – Aktiviti pembalakan yang berlaku di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang bukan punca utama yang mencetuskan banjir besar di negeri Kelantan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, selain banjir, masih terdapat banyak faktor lain yang boleh dikaitkan sebagai punca banjir di beberapa kawasan di Kelantan tahun lepas.

“Jika kita katakan banjir besar di Kelantan berpunca semata-mata akibat pembalakan, ia tidak berasas sama sekali kerana paras air tinggi yang dicatatkan di Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Kelantan dan Sungai Golok datangnya dari beberapa anak sungai di lokasi jajaran pergunungan yang berbeza antaranya Gunung Stong, Taman Negara Kuala Koh, Gunung Tahan di Taman Negara Pahang dan jajaran pergunungan di daerah Waeng, Narathiwat.

“Keluasan Gua Musang, Kuala Kerai dan Jeli adalah mewakili 79.3 peratus daripada luas keseluruhan Kelantan dan 39 peratus daripada keluasan tanaman atau aktiviti pertanian di Kelantan datangnya dari tiga daerah itu sahaja.,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pihak kerajaan harus mengambil kira faktor taburan hujan lebat yang lebat dan peningkatan paras air sungai di Kelantan yang didakwa sebagai punca sebenar tercetusnya bencana  alam tersebut.

“Hujan lebat berterusan yang turun selama tiga hari berturut-turut di Gua Musang telah mencatatkan taburan hujan tertinggi iaitu 1,295 mm yang bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari,” katanya.

Beliau berkata, secara umumnya, berlaku peningkatan taburan hujan melebihi 40 ​ peratus​ daripada purata jumlah taburan hujan jangka panjang.

“Berikutan taburan hujan yang tinggi, paras air di tiga sungai utama; Sungai Galas (Dabong), Sungai Lebir (Tualang) dan Sungai Kelantan yang mempertemukan Sungai Galas dan Sungai Lebir di Kuala Krai mengalami peningkatan 8 hingga 9 meter melebihi paras maksima sehingga mengakibatkan banjir di kawasan sepanjang Sungai Kelantan meliputi Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kota Bharu.

“Air dari Sungai Galas juga melalui Jeli dan Gua Musang, manakala Sungai Lebir melalui Manek Urai.Sg. Golok di sempadan Malaysia-Thailand juga mengalami limpahan sehingga mengakibatkan banjir di 13 daerah di Narathiwat dan Rantau Panjang,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.

“Fokus kita ketika ini adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Jangan lempar dan ganggu mangsa-mangsa banjir dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.