Sabtu, 10 Januari 2015

Hudud perlu dilihat dari perspektif keperluan yang mana K'tan sudah bersedia - PAS T'ganu

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KLANG: Seorang pemimpin PAS akar umbi menyifatkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan perlu dilihat dari perspektif masa dan tempat dengan berpandukan keperluan pentadbiran kerajaan negeri untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. 
 
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani berkata adalah tidak adil sekiranya penolakan pelaksanaan hukum hudud itu dibuat dengan menyempitkan tafsiran sistem perundangan tersebut.
 
Beliau juga menganggap usaha untuk membawa undang-undang hudud ke Dewan Rakyat tahun lalu disifatkan 'terlalu lambat' memandangkan kerajaan PAS Kelantan telah menggubal Enakmen Jenayah Syariah sejak 1993.
 
"Sepatutnya perkara ini bukan berlaku sekarang, ia patutnya dah lama sebab dah lebih daripada 20 tahun.
 
"Sepatutnya perkara yang begitu mustahak dan penting ini tidak dilengahkan seperti mana enakmen lain begitu cepat naik di Parlimen dan diluluskan atau sebagainya," katanya kepada Antarapos.
 
Bagaimanapun Azman Shapawi meletakkan harapan tinggi supaya ahli Parlimen beragama Islam memberikan sokongan kepada rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.
 
"Cuma harapan saya terutamanya kepada Ahli Parlimen Islam daripada Umno, PKR dan juga PAS wajib mereka menyokong undang-undang ini jika ia dibawa ke Parlimen.
 
"Kerana jelas undang-undang ini adalah satu undang-undang terbaik dan bukan untuk dilaksanakan di Malaysia tapi hanya untuk di Kelantan.
 
"Yang dibawa ini orang Islam yang terlibat dan orang bukan Islam tidak terlibat dengan perkara ini," katanya.
 
Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan akan membawa rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud  ke Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang, satu lagi usaha PAS untuk melaksanakannya di negeri itu.
 
Selain itu, kerajaan pusat juga tidak mempunyai sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan PAS Kelantan untuk membentangkan perkara berkaitan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini di Parlimen tahun depan.
 
Kerajaan Kelantan dijangka mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud selepas bencana banjir yang berlaku di negeri itu ditangani serta diselesaikan.
 
Persidangan itu sepatutnya diadakan pada 29 Disember lalu namun ditangguhkan atas sebab bencana banjir yang berlaku.
 
Tiada halangan laksana hudud tapi perlu penuhi mekanisme undang-undang
 
Jelas bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini lagi, secara umumnya tiada halangan untuk kerajaan negeri Kelantan melaksanakan undang-undang Islam namun ia perlu melalui proses dari sudut pindaan perlembagaan serta mekanisme pelaksanaannya.
 
"Jadi perkara ini tidak ada satu halangan untuk kerajaan pusat memberi laluan kepada kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang yang mereka luluskan di peringkat negeri mereka.
 
"...dan masyarakat luar boleh memerhati dan membuat komen selepas pelaksanaan, adalah tidak adil saya nampak kalau sekiranya perkara ini tak dilaksanakan lagi atau tak buat apa-apa tapi tiba-tiba kita kata perkara ini tak betul atau tak bagus," katanya.
 
Antara  mekanisme pentadbiran undang-undang yang dipersoalkan umum termasuklah pelantikan hakim-hakim, bidang kuasa mahkamah yang terhad, tiada panduan penjelasan kepada peruntukan undang-undang yang umum serta prosedur yang tidak lengkap.
 
Selain itu, pertindihan dengan undang-undang lain, pelaksanaan perintah, tafsiran peruntukan yang berbeza, masalah penyelarasan dan kerjasama negeri atau pihak berkuasa dan lain-lain turut menjadi persoalan sama ada Kelantan memenuhi aspek berkenaan.
 
"Sedangkan kita belum cuba dan belum tengok pelaksanaan undang-undang ini yang belum pernah dibuat sebelum daripada ini," tambah Azman Shapawi lagi.
 
Katanya, meskipun berdepan kesukaran menyebarkan maklumat mengenai hudud namun ia tetap dilakukan melalui sayap-sayap dewan PAS. 
 
"Kita masih meneruskan kerja tak pernah berhenti cerita bab hudud ini  cuma kita bagi pihak pembangkang kita tidak mempunyai media yang cukup untuk menjelaskan kepada masyarakat.
 
"Mungkin bagi keadaan Kelantan kita boleh sebab jadi kerajaan.
 
"Tapi untuk negeri-negeri lain untuk beri kefahaman yang betul mungkin kita tak sempat sebab jumlah yang ramai, masa yang terbatas, tenaga yang kurang dan kemudahan yang terbatas," katanya.
 
Selain kekangan media, pendakwah bebas ini juga berkata PAS turut berdepan dengan kumpulan yang memperlekehkan hukum hudud dengan memberi gambaran negatif pelaksanaannya kepada umum.
 
"Sukar untuk kita memberitahu kepada umum, dalam masa yang sama timbul kumpulan-kumpulan yang memperlekehkan undang-undang ini.
 
"Jadi perkara itu menjadi satu polemik untuk kami meneruskan kerja tapi kerja ini tetap berjalan," katanya.
 

Tiada ulasan: