Ahad, 11 Januari 2015

Hishammuddin tidak harus cetus prasangka

Apakah kemungkinan serangan yang sama berlaku di Malaysia disebabkan hubungan rapat Putrajaya dengan Washington.


datuk-seri-hishamuddin


PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibidas berikutan kenyataan yang menyamakan keadaan di Perancis sama dengan situasi di Malaysia yang didakwa berdepan serangan golongan pelampau berkaitan dengan Islam.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mempersoalkan sebagai seorang yang berhemah Menteri Pertahanan itu tidak akan mendakwa serangan ke atas Charlie Hebdo akan berlaku di Malaysia kerana kenyataannya menimbulkan pertanyaan di kalangan orang Islam ”apakah di Malaysia juga ada akhbar yang memprovokasikan orang Islam dengan siaran gambar kartun Nabi Muhammad.”

Entri terbaru dalam blog beliau, zamkata.blogspot.com yang ditulis oleh Tan Melaka menimbulkan persoalan, apakah kemungkinan serangan yang sama berlaku di Malaysia disebabkan hubungan rapat Putrajaya dengan Washington yang menyebabkan Malaysia dilihat rakan sekongkol kepada Amerika Syarikat.

”Saya rasa kenyataan Hishammuddin itu tidak kena masanya. Kita tidak harus menimbulkan prasangka bahawa kita berada dalam keadaan yang semasa dengan France yang medianya bersikap Islamic phobia, biadap dan sering memprovokasi orang Islam dengan pelbagai penghinaan dan sindiran sejak sekian lama,” jelas Tan Melaka dalam entri berjudul Kenyataan Menteri Pertahanan yang tidak berhemah.

Tan Melaka juga mengaitkan situasi semasa negara bahawa serangan serupa boleh berlaku dengan menyoal: ”Adakah kita juga merasa terancam oleh pelampau Islam kerana telah mempunyai kumpulan orang Islam yang memprovokasikan orang Islam sendiri untuk meluaskan amalan demokrasi Barat, kebebasan dan liberalisme dengan menentang martabat dan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Negara?”

Penulis tersebut juga melontarkan pertanyaan apakah serangan serupa dibimbangi berlaku kerana ada hubung kaitnya dengan perbuatan kumpulan 25 Melayu yang terus dibiarkan walaupun mencabar undang-undang Islam.

Sehubungan itu, tegasnya, ”Ini semua mesti dijawab oleh Hishammuddin yang membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan yang tidak perlu di kalangan rakyat negara ini.”

Terdahulu Hishammuddin dilaporkan berkata, serangan pengganas di Paris yang mengorbankan 12 orang mungkin juga boleh berlaku di Malaysia.

“Saya pulang dari Paris dan London bulan lalu, dan saya telah mengadakan perbincangan dengan agensi perisikan mereka, (dan) apa yang berlaku bukan sesuatu yang tidak dijangka.

“Jangan pandang ringan bahawa apa yang berlaku di negara itu (Paris) tidak mustahil boleh berlaku dekat kita di sini,” katanya.

Tiada ulasan: