Ahad, 4 Januari 2015

Harga sayur, ikan naik mendadak ekoran banjir

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Harga sayur-sayuran di Pantai Timur dilapor meningkat sehingga 30 ke 40 peratus berikutan musibah banjir yang melanda sejak dua minggu lalu.
 
Bendahari Persatuan Pemborong Sayur, Chong Tek Keong berkata sepanjang tempoh hujan baru-baru ini, bekalan dari kebun telah menurun sebanyak 30 hingga 40 peratus.
 
Tek Keong yang menafikan bahawa pemborong mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan memberitahu, harga melambung naik berikutan tindakan pekebun menaikkan harga.
 
"Pemborong hanya meneruskan kerja mereka seperti biasa dengan menghantar sayur ke kawasan-kawasan tertentu di Kelantan dan Pahang.
 
"Bagaimanapun harga sayur-sayuran dijangka menurun pada sambutan Tahun Baru Cina bulan depan," katanya.
  
Setiausaha Penanam Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, hujan dan banjir yang melanda telah menjejaskan tanaman sayur di seluruh negara dan bukannya di kawasan tanah tinggi sahaja.
 
"Cuaca terlalu lembab untuk membuat tuaian. Mudah-mudahan cuaca akan kembali baik supaya tanaman boleh dituai," ujarnya.
 
Selain harga sayur-sayuran, harga makanan laut seperti ikan turut melambung apabila nelayan tidak dapat ke laut akibat cuaca buruk manakala penternak ayam pula terpaksa menanggung lebihan apabila tidak dapat menyalurkan ayam bersih ke kawasan terjejas.
 
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Peladang dan Ternakan, Jeffery Ng berkata, sebanyak 3,000 ladang ternakan ayam di seluruh terpaksa menanggung lebihan kerana tidak dapat membuat pengedaran ketika banjir.
 
"Restoran dan kedai makan merupakan pasaran penting bagi pembekal ayam bersih, bagaimanapun penutupan restoran ketika banjir membuatkan ternakan berlebihan dan perlu dihapuskan," ceritanya.
 
Berikutan itu, harga ayam dilaporkan menurun kepada RM3.50 sekilogram khususnya di Lembah Klang.
 
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan, Norizaman Ghazali pula memberitahu, kenaikan harga ikan pada Januari merupakan perkara biasa kerana kekurangan ikan di laut.
 
"Ia telah menjadi perkara biasa mengikut musim," katanya ringkas.
 
Sementara itu, Jabatan Meteorologi memberitahu, cuaca kini semakin baik di Kelantan, Terengganu, dan Pahang manakala Johor akan terus menerima hujan.

Tiada ulasan: