- Gambar Hiasan - Gambar Hiasan
 
 
KUALA LUMPUR - Terdapat segelintir pemborong yang menyimpan bekalan ikan di waktu musim tengkujuh menyebabkan harga ikan naik.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, harga ikan naik bukan kerana bekalan ikan tidak mencukupi tetapi ia berpunca akibat perbuatan segelintir pemborong itu.

Irmohizam menerusi aplikasi WhatApps berkata, bagi mengekang situasi berkenaan daripada berterusan berlaku, LKIM telah mengambil pendekatan strategik bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dalam memberikan opsyen ikan segar seperti mengimport lebih banyak ikan rakyat dari negara jiran.

"Pada masa sama, menyediakan ikan sejuk beku," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri asas tani, Datuk Seri Ismail Sabri mengatakan bahawa alasan diberikan segelintir peniaga untuk menaikkan harga sayur  dan ikan adalah tidak berasas.

Harga ikan dan sayur difahamkan naik bukan sahaja di negeri pantai timur, malah di Kuala Lumpur juga naik antara 60 dan 100 peratus.