Sabtu, 3 Januari 2015

Hadi: Tuduhan Kerajaan Mesir terhadap Qardhawi bodoh, zalim

Oleh: AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Polis Antarabangsa (Interpol) tidak boleh mengambil tindakan terhadap Syeikh Dr Yusuf Abdullah Al Qardhawi hanya kerana pertuduhan spontan yang dilemparkan Kerajaan Mesir.

Abdul Hadi berkata, tuduhan Kerajaan Mesir terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu disifatkan zalim dan bodoh tanpa merujuk kepada peraturan Interpol.

“Jika, kita merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Interpol, mereka hanya boleh mengambil tindakan terhadap individu yang dianggap melakukan kesalahan jenayah dan tidak boleh bertindak dalam kesalahan politik yang ada kaitan dengan hak asasi manusia.

hadi“Ia mesti mendapat kerjasama dengan negara yang orang dituduh itu berada, sama ada rakyat negara itu atau mendapat suaka politik negara berkenaan,” katanya di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Beliau yang juga Presiden PAS meminta klausa Undang-Undang Tubuh Interpol yang menghalang seseorang itu ditahan dimasukkan bersama dalam memorandum bantahan yang akan dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia

Menurut laman web Interpol pada 5 Disember lalu, notis merah terhadap Qardhawi, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut, membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme serta kecurian.

Yusuf yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak.

qaradawiAbdul Hadi berkata, serangan terhadap ulama seperti Qardhawi berpunca daripada permusuhan terhadap Islam sejak zaman dahulu, selain didorong dengan ketakutan terhadap Islam atau Islamophobia.

Tegas Abdul Hadi, kebangkitan rakyat cetusan Qardhawi mengakibatkan kuasa barat serta pemimpin Islam yang mempunyai kentingan peribadi kini bimbang dan takut.

“Percayalah Islam tidak boleh dimatikan. Bukan seorang Qardhawi.

“Kalau satu dahan pokok dicantas, sepuluh tunas akan tumbuh. Satu tunas dicantas, tumbuh sepuluh tunas yang baru.

“Satu Qardhawi dicantas akan tumbuh sepuluh lagi Qardhawi. Di sini, keyakinan kepada kepada Allah SWT dan kita jangan mengalah,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: