Hadi Awang  
Hadi Awang


SHAH ALAM - Misi bantuan kemanusiaan yang digerakkan pelbagai pihak sejak negara dilanda bencana banjir perlu dilakukan tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.

Gesaan itu dilontarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menyifatkan bantuan kepada mangsa banjir itu sebagai tanggungjawab bersama dan ujian kepada semua lapisan masyarakat.

"Saya menyeru agar seluruh masyarakat tanpa membezakan warna kulit, kaum, agama dan idelogi politik agar dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada sekalian mangsa banjir.

"Sesungguhnya musibah yang melanda ini adalah ujian getir bagi mereka maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu mengurangkan derita dan kesengsaraan yang ditanggung mereka," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata lagi, Pas telah bersetuju melancarkan Tabung Khas Pemulihan Mangsa Banjir bagi memudahkan urusan pengumpulan sumbagan kepada mangsa banjir.

"Objektif utama penubuhan tabung ini adalah untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan dan mangsa banjir di seluruh negara khususnya bagi mereka yang telah kehilangan tempat tinggal.

"Pihak Pas akan mengumumkan nombor akaun dan bank yang akan digunakan untuk tabung tersebut dalam masa terdekat," katanya lagi.