Isnin, 12 Januari 2015

Esok hari penentuan nasib Azilah dan Sirul

MALAYSIAKINI


 


Esok, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya berhubung rayuan terakhir berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Malaysiakini mengimbas kembali kes itu yang menjadi tajuk utama berita tempatan dan luar negara, dan di mana dua anggota polis dijatuhkan hukuman mati dalam kes tersebut.

Mengimbas 2006


Seorang wanita cantik telah diletupkan di tengah-tengah hutan, dan jejaknya telah membawa kepada beberapa personaliti berpengaruh, termasuk timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Teman rapat Najib - Abdul Razak Baginda (kiri) - didakwa bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu, tetapi dia kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.
Manakala Najib sendiri telah bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tiada kaitan dengan perkara tersebut.

Ia adalah kes yang mencambahkan pelbagai teori konspirasi, yang malah turut mengaitkan pembunuhan kejam  itu dengan pembelian dua kapal selam dari Perancis sewaktu Najib menjadi menteri pertahanan.

Razak Baginda merupakan pemilik Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk membeli dan menyelenggara dua kapal selam itu.

Pembelian kapal itu dan dakwaan suapan daripada urusniaga tersebut masih lagi menjadi bahan siasatan pihak berkuasa Perancis.

Penganalisis politik itu telah mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, tetapi tidak dipanggil membela diri selepas kes pihak pendakwaan selesai di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada tahun 2008, atas alasan bahawa afidavit bersumpah Abdul Razak yang difailkan dalam prosiding ikatjaminnya diterima oleh mahkamah.

Pihak pendakwa kemudiannya memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak selepas tempoh 14 hari diberikan untuk berbuat demikian.

Pihak polis juga membersihkan nama Najib daripada sebarang dakwaan salah laku.

Dua anggota unit tindakan khas polis telah disabitkan dengan pembunuhan itu yang berlaku antara jam 10 malam 19 Oktober dan jam 1 pagi 20 Oktober 2006, di sebuah hutan terpencil di Puncak Alam, berhampiran Shah Alam.

Pada April 2009, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati berlaku beberapa penyalaharahan (misdirection) oleh hakim Mohd Zaki Yasin dan mengarahkan kedua-duanya dibebaskan dari penjara pada bulan Ogos 2013.

Penyalaharahan itu termasuk tidak memanggil adikong Najib, DSP Musa Safri, persoalan berkaitan data telefon bimbit Azilah dan alibi Musa,  seperti yang ditulis dalam diari balai polis yang menyatakan dia berada di Bukit Aman semasa kejadian itu.

Selanjutnya, keterangan yang tidak konsisten oleh saksi polis dan ditambah pula dengan misteri di mana darah yang terdapat pada kasut yang tidak dikenali di dalam kereta Sirul, tidak disahkan datangnya dari si mati.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah, dalam jawapannya kepada penghakiman mahkamah rayuan, berkata DSP Musa tidak relevan kepada kes pendakwaan terhadap dua anggota polis itu.

Kemudian, semasa prosiding di Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan, Sirul, tertuduh kedua, menyatakan dia telah dijadikan kambing hitam "untuk melindungi rancangan mereka".

Peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin berkata anak guamnya sedang dianiaya, bahawa bukti itu didakwa telah diletakkan oleh pihak polis di rumah Sirul dan kereta Sirul.

Kunci kereta dan kunci rumah Sirul berada dalam simpanan polis apabila dia menemani Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Pakistan, di mana dia akhirnya ditangkap.

Walaupun dengan dapatan Mahkamah Rayuan itu, peguam bapa Altantuya Shaariibuu Setev - mendiang Karpal Singh -  berjanji untuk memanggil Najib dan DSP Musa untuk menjawabnya.

Ini selepas Shaariibuu memfailkan saman RM100 juta terhadap kerajaan berikutan kematian anaknya itu. Kes ini masih belum selesai, sehingga keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota polis itu.

Di samping itu, dua tahun lalu telah menyaksikan balu P Balasubramaniam - bekas penyiasat persendirian Abdul Razak -  A Santamil Selvi memfailkan saman RM1.9 juta terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan tujuh yang lain, selepas (Bala) dan keluarganya terpaksa hidup dalam buangan di India berikutan pendedahan yang dibuat dalam akuan berkanun (SD).

Saman itu juga menyaksikan peguam kanan Datuk Cecil Abraham dinamakan sebagai salah seorang defendan, di mana rakan kongsi dalam firma guaman Zul Rafique and Partner itu sedang menghadapi prosiding Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara berhubung dakwaan penglibatannya dalam merangka SD kedua, yang menarik balik dakwaan yang dibuat dalam SD pertama.

Bagaimanapun, saman Santamil telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas, tanpa perbicaraan penuh.

Dengan latar belakang ini, nasib Azilah dan Sirul akan ditentukan mahkamah tertinggi di negara ini esok.

Tiada ulasan: