Ahad, 11 Januari 2015

Dr Halim Shafie kembali terajui SKMM

FREE MALAYSIA TODAY
 
Pelantikan ini menutup prejudis pihak tertentu yang mendakwa boneka UMNO akan dilantik.


Datuk Halim Shafie Chairman T.M


KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie dilantik sebagai pengerusi baharu SKMM untuk penggal dua tahun, demikian diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini.

Dr Halim, 65, kini merupakan pengerusi Telekom Malaysia, jawatan bukan eksekutif yang dipegangnya hampir enam tahun selepas khidmatnya dengan SKMM sebelum ini tamat. Beliau merupakan pengerusi SKMM dari April 2006 hingga Mei 2009.

Sebelum menyertai SKMM, Dr Halim ialah Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi selama enam tahun.

“Saya dengan penuh gembira mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr Halim Shafie telah bersetuju untuk berkhidmat semula,” kata Ahmad Shabery kepada Bernama.

“Tempoh khidmat beliau adalah selama dua tahun dengan saya telah memberikan tugas spesifik untuk beliau laksanakan dan capai. Ini termasuk meneliti tadbir urus baik, yang selaras dengan usaha kerajaan untuk semua kementerian dan agensi.”

“Dr Halim, antara lain, akan memberi tumpuan terhadap usaha bagi memisahkan antara peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi SKMM. Saya rasa ini penting bagi SKMM untuk memastikan wujudnya kesinambungan serta keseimbangan kuasa dalam organisasi itu,” kata beliau.

Ahmad Shabery berkata Dr Halim dijangka melakukan semakan semula terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewujudkan ruang siber yang sihat.

“Apa yang berlaku semasa banjir di Pantai Timur tahun lepas perlu dicegah daripada berulang. Walaupun undang-undang tidak mungkin dapat mencegahnya seratus peratus, tetapi kami berharap orang ramai akan berfikir dengan teliti sebelum berkongsi sesuatu maklumat yang belum disahkan,” katanya.

Dalam keadaan krisis, tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti itu mungkin boleh mencetuskan keadaan kelam kabut dan menyebabkan kerja memberi bantuan menjadi bertambah sukar, katanya.

Dr Halim, yang juga Pengerusi Universiti Multimedia, mempunyai kedudukan yang amat baik bagi membantu Ahmad Shabery merealisasikan agendanya untuk negara.

Ahmad Shabery berkata: “Tahun ini, fokus akan diberi terhadap semua aspek pendigitalan negara ini.
Saya amat berminat untuk melaksanakan suatu inisiatif digital, yang akan meliputi infrastruktur perkakasan dan perisian.”

Tiada ulasan: