Isnin, 5 Januari 2015

Dewan Ulama Pas: Cukup hanya jalin kerjasama


Mohd Khairuddin Aman Razali
 
 
SHAH ALAM – Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan Kelantan tidak memerlukan kerajaan campuran sebaliknya hanya kerjasama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama itu berlaku antara kedua-dua kerajaan ini berdasarkan ruang lingkup tanggungjawab masing-masing

"Bukan kerajaan campuran yang diperlukan tetapi kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berdasarkan ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.

"Politik damai tidak hanya bererti perkongsian kuasa tetapi bererti berikan hak kepada yang selayaknya mendapat hak dari sudut politik kuasa.

"Berikan pengiktirafan politik kepada kerajaan Kelantan yang diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi pemerintah Kelantan menerusi peruntukan kewangan menurut lunas demokrasi," katanya melalui kemaskini status di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mencadangkan agar Pas dan Umno Kelantan menubuhkan sebuah kerajaan campuran di negeri terbabit bagi membangunkan kembali Kelantan.

Ujarnya sudah 40 tahun orang Kelantan menderita kerana kedua-dua parti itu asyik bermain politik.

Menurut Khairuddin, ketika rakyat sedang dilanda musibah, ia bukan masa yang sesuai untuk politik murahan.

"Inilah masa kesatuan ummah diperlukan bagi membantu mangsa tragedi. Tonjolkan politik budi dan jasa.

"Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan, kerajaan pusat, seluruh wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bekerja membantu mangsa banjir khususnya di Kelantan yg terjejas teruk,"katanya.

Tiada ulasan: