Ahad, 4 Januari 2015

DAP terus minta darurat

 
Parti itu juga menggesa kerajaan agar menggunakan semua sumber untuk membantu mangsa banjir


Lim Kit Siang_new_300


MENTAKAB: DAP sekali lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyokong pengisytiharan darurat dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Ahli Jawatankuasa DAP Eddie Ng Tien Chee dalam kenyataan bersama menegaskan, pengisytiharan darurat akan membolehkan mobilisasi 150,000 tentera untuk menangani bencana banjir, lapor Roketkini.

Menurut mereka, bantuan anggota tentera boleh memendekkan masa memulihkan musibah yang berlaku dari enam bulan kepada dua bulan, misalnya.

“Kabinet pada hari Rabu ini perlu mengambil langkah-langkah berani dan tegas berhubung pengisytiharan darurat.

“Angkatan tentera boleh digembleng untuk membantu polis menjaga keselamatan dan mangsa banjir yang telah kehilangan tempat tinggal serta membina rumah sementara serta memastikan tidak ada wabak penyakit dengan membersihkan kawasan bencana.

Kata mereka, jika angkatan tentera di negara lain boleh memberi khidmat ketika bencana, tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dilakukan di Malaysia.

DAP turut menggesa kerajaan agar menggunakan semua sumber untuk membantu mangsa banjir memulakan kehidupan dan perniagaan mereka semula.

Katanya, kerajaan harus meluluskan dua kali ganda daripada peruntukan bantuan banjir dari RM500 juta kepada RM1 bilion.

“Peruntukan dua kali ganda ini boleh menjadi pinjaman tanpa faedah kepada setiap mangsa banjir untuk membolehkan mereka memulakan semula kehidupan dan perniagaan dengan serta merta, dalam masa paling singkat.

Dalam perkembangan serupa, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim juga mempersoalkan tindakan Najib yang didakwanya masih tidak memberi penjelasan kepada rakyat berhubung keengganannya mengisytiharkan darurat.

Katanya, tindakan tersebut kini menjadi tanda tanya berikutan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah menafikan sepenuhnya dakwaan beliau.

Teresa berpendapat, Najib masih belum memberikan penjelasan munasabah berhubung “kedegilannya” itu, sedangkan PIAM tiga hari lalu telah menyatakan bahawa mangsa banjir yang telah membeli polisi perlindungan insuran am akan dibayar kerugian.

Menurutnya, PIAM juga menyebut semua syarikat insuran yang menjadi ahlinya akan memproses semua tuntutan banjir selagi mana ia diinsurankan.

“Boleh Najib menafikan bahawa beliau telah mendapat nasihat yang salah mengenai isu insuran ini?” soal Teresa.

Ahli Parlimen Seputeh itu menegaskan, tindakan tersebut jelas membuktikan betapa kerajaan telah gagal menangani masalah rakyat yang kini menderita akibat banjir.

“Mengapa bencana yang luar biasa ini tidak dikendalikan secara biasa dengan mengisytiharkan darurat supaya sumber kerajaan dapat digerakkan sepenuhnya untuk menangani banjir?

“Tidak syak lagi, kerajaan telah gagal dan langsung tidak bersedia untuk menghadapi banjir luar biasa ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: