Ahad, 25 Januari 2015

DAP tak patut bangkit isu pilihanraya PBT nak serang PAS - Mahfodz

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: DAP tidak sepatutnya membangkitkan soal Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terang-terangan hanya kerana semata-mata tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
 
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, DAP sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih wajar dan memikirkan hubungan kerjasama yang terjalin menerusi gabungan Pakatan Rakyat.  
 
Sama seperti PAS kata Mahfodz, parti itu walaupun tidak bersetuju dengan pilihanraya PBT itu sebelum ini, namun masih mengambil pendekatan berdiam diri kerana mahu menjaga hubungan sesama rakan dalam Pakatan. 
 
"Maka sebab itulah dah sampai masanya Datuk Seri Presiden menyuarakan pandangan yang sebenarnya. Yang PAS tak setuju itu ialah pilihanraya itu macam di seluruh Malaysia ada komponen semua kaum. 
 
"Tapi kalau di bandar, kaum Cina menguasai. Sebab itu PAS tak setuju, ini akan timbulkan ketegangan kaum. Dan Melayulah yang akan tersepit itu," katanya kepada Antarapos.
 
Ujar Mahfodz yang turut bersetuju dengan pandangan Hadi itu lagi, DAP tidak wajar menggunakan isu hudud untuk menyerang PAS kononnya membelakangkan Pakatan, kerana secara asasnya PAS sendiri menghormati pandangan DAP yang tidak mahu hudud dilaksanakan. 
 
"PAS hormati DAP tak mahu hudud tapi dia kena paham apa yang dilaksanakan itu berkaitan dengan hukum hakam orang Islam. Macam kita puasa, sembahyang dan haji..dia tak boleh tak setuju sebab ia berkaitan dengan orang Islam. Hudud pun seperti itu juga, kita tak kenakan apa-apa tindakan kepada orang bukan Islam," ujarnya lagi.
 
Bekas Pesuruhjaya PAS Johor itu juga tidak menolak kenyataan yang dibuat Hadi itu adalah sebagai respon kepada tindakan DAP yang enggan menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan. 
 
"Iyalah.. untuk berlaku adil, maknanya kalau dia nak laksanakan tanpa persetujuan pun dia nak teruskan. Jadi kita pun begitu juga. Walaupun DAP tak setuju dengan hudud, maka kita akan laksanakan juga kerana yang terlibat dengan hudud di Kelantan ini orang Islam saja. 
 
"Tak ada kena mengena (dengan orang bukan Islam). Lagi pun undang-undang itu diluluskan sebelum adanya Pakatan," kata beliau lagi.
 
Tambah Mahfodz, DAP sepatutnya membincangkan isu pilihanraya PBT itu dalam mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat sebelum membangkitkannya.     
 
"Patutnya ia (pilihan raya PBT) ini perlu dibincangkan dan minta persetujuan dalam Majlis Presiden. Kita diam itu dengan harapan supaya hasrat PAS nak laksana hudud di Kelantan pun DAP tak perlu bising. Macam kita (PAS) tak setuju tapi diam... menggambarkan ada perpaduan dalam Pakatan Rakyat," ujarnya lagi. 
 
Justeru dengan keadaan sekrang ini yang menyaksikan pertikaman lidah antara pemimpin kedua-dua parti, Mahfodz mencadangkan kedua-dua pihak duduk semeja untuk membincangkan permasalahan yang berbangkit.

Tiada ulasan: