Jumaat, 23 Januari 2015

Cukai minyak secara senyap punca harga barang tidak turun

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- Tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan mengenakan cukai secara senyap ke atas jualan petrol dan diesel bagi sektor komersil menyebabkan harga barang tidak dapat diturunkan, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan yang dibocorkan kepadanya, beliau mendapati syarikat- syarikat minyak diwajibkan mengikut beberapa peraturan.

Rafizi jet

Antaranya, kerajaan mengenakan cukai jualan kepada industri dan sektor komersil berkuatkuasa 1 Januari lalu  di antara 40 sen hingga 58.62 sen seliter mengikut jenis bahan api.

Oleh sebab itu katanya, pengilang dan industri terpaksa membayar harga RM2.269 seliter (RON95) dan RM2.236 seliter (diesel) berbanding harga biasa RM1.91 seliter (RON95) dan RM1.93 seliter (diesel).

“Ini bermakna pengilang dan industri membayar dua bentuk cukai kepada kerajaan sekarang ini iaitu cukai jualan yang diumumkan melalui pekeliling setiap bulan dan cukai petrol/diesel tersembunyi akibat perbezaan ketara di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, sistem penetapan harga tersebut termasuk syarat AP makanan yang mewujudkan monopoli telah menjadi penghalang kepada peniaga untuk menurunkan harga barangan.

“Pentadbiran Datuk Seri Najib mengambil tindakan tidak bertanggungjawab mengenakan cukai senyap-senyap kepada industri untuk menambah pendapatan dengan harapan rakyat mengalihkan kemarahan kepada industri dan peniaga, bukannya kerajaan.

“Sedangkan kerajaan mengutip ratusan juta cukai dari rakyat dan peniaga setiap bulan sejak kejatuhan harga minyak berlaku,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi berkata, kempen senyap yang dibuat di laman sosial bahawa kononnya peniaga berbangsa Cina enggan menurunkan harga barangan adalah tidak benar.

“Rakyat harus sedar bahawa salah satu sebab harga barang tidak turun secepat harga minyak adalah kerana pengilang dan industri tidak menikmati kejatuhan harga minyak akibat cukai jualan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak,” jelasnya.

Jesteru, Rafizi mendesak segala bentuk cukai yang dikenakan baik kepada rakyat, peniaga atau pengilang perlu dihentikan serta merta bagi memastikan penurunan kos di setiap rantaian iaitu dari pengilang hingga kepada pengguna.

Tiada ulasan: