Isnin, 5 Januari 2015

Contohi sifat amanah Rasulullah dalam pentadbiran – Azizah

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pemimpin Islam di negara ini agar mencontohi sifat amanah yang ditunjukkan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad saw.

Dalam peruntusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Azizah turut menggesa pemimpin umat Islam supaya menjauhi rasuah yang boleh merosakkan negara.

drwanazizah“Di dalam pemerintahan, kita harus mencontohi sifat Rasulullah iaitu amanah. Kita harus telus, berhemah dan bertangggungjawab.

“Kita juga harus berusaha mengelak dan menghapuskan segala unsur-unsur rasuah yang boleh merosakkan pentadbiran kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Muhammad sebagai seorang reformis agung yang berjaya mengubah dunia dengan pengembangan dakwah Islam, meliputi dua pertiga dunia.

“Mesej yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w amat jelas, iaitu baginda membawa rahmat kepada seluruh alam, meliputi semua umat manusia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, bangsa dan agama,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru pemimpin umat Islam di seluruh dunia agar bermuhasabah dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik yang melanda dunia Islam.

Katanya, umat Islam mutakhir ini menghadapi pertembungan fikrah, apabila masih terdapat mereka yang tidak memahami contoh dan akhlak baik yang dibawa Nabi.

“Akibatnya, peperangan, pembunuhan dan kezaliman terus berlaku di Syria, Iraq, Mesir dan beberapa negara lain.

“Mereka hanya menamakan diri mereka kumpulan Islam, tetapi sayangnya mereka melakukan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w,” ujarnya.

Tiada ulasan: