Oleh Abu Hassan Adam
Melihatkan beberapa perkembangan yang berlaku di Malaysia kini menampakkan seolah-olah terdapat pihak-pihak tertentu yang seolah-olah tidak mempedulikan kewujudan Perlembagaan Malaysia yang merupakan dokumen penting yang sepatutnya menjadi garis panduan kepada rakyat Malaysia, samada kepimpinan atau rakyat jelata.
Yang menyedihkan ialah perlembagaan semacam diketepi dan tidak
dipedulikan. melanggar peraturan di negara ini seolah-olah sudah
merupakan satu kebanggan bagi setengah rakyat Malaysia. Dalam hal
mematuhi peraturan jalan raya pun rakyat Malaysia ‘berlumba-lumba’ untuk
menyalahi peraturan dan undang-undang negara. Dalam hal sekecil
mematuhi lampu isyarat jalan raya pun, ramai yang cuba untuk tidak
mematuhinya. Dan bagi yang mematuhinya pula ramai yang merasakan bahawa
mereka terpaksa patuh disebabkan oleh takut kepada diambil tindakan oleh
Polis.
Yang menghairankan aku ialah mengapa di negara-negara maju seperti USA,
United Kingdom atau di negara-negara Eropah lain mematuhi undang-undang
yang ditetapkan? Sehingga kini disetengah tempat di Palo Alto,
California (Stanford University) masih lagi tidak menggunakan lampu
isyarat di jalan raya mereka. Mereka masih menggunakan tangan dan
‘perasaan’.Tangan digunakan oleh mereka untuk memberi isyarat memberikan
laluan. Di England pula misalnya, walaupun terdapat kesesakan jalan
raya, tidak pula terdapat kenderaan yang memotong ‘Q’ dan mencelah
kenderaan yang beratur seperti yang diamalkan di Malaysia. Cuma yang
dapat ‘mengalahkan’ kita (perangai rakyat Malaysia) dalam hal sebegini
ialah pemandu kereta di Istanbul, Turkey. Mereka lebih ‘hebat’ daripada
pemandu di Malaysia.
Aku masih menyoal diri ku. Mengapa setengah rakyat Malaysia tidak mahu mematuhi peraturan yang ditetapkan?
Aku terfikir pula peribahasa Melayu lama. Bagaimanalah ketam untuk
menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dia sendiri berjalan senget.
Bagaimanalah rakyat biasa disuruh mematuhi peraturan dan undang-undang
sedangkan para pemiminnya juga tidak mematuhi peraturan dan tidak
mengikuti perlembagaan.
Terlalu banyak contoh yang boleh diberikan untuk meunjukkan yang para
pemimpin kita tidak mematuhi peraturan yang mereka sendiri tetapkan.
Mereka tahu yang setengah tindakan mereka itu menyalahi peraturan,
tetapi disebabkan keangkuhan yang merasakan diri mereka berkuasa dalam
segala-galanya, mereka tetap ‘memijak’ undang-undang yang mengawal
tindakan mereka itu.
Kerajaan memberikan berbagai kemudahan kepada para pemimpin dan
pentadbir negara untuk menjalankan tugas dengan berkesan. Pegawai tinggi
kerajaan disediakan kenderaan kerajaan untuk memudahkan mereka. Tetapi
terdapat pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan yang menggunakan kemudahan
itu seperti memiliki harta peribadi sendiri. Mereka sewenang-wenangnya
menggunakan untuk kepentingan peribadi mereka. Mereka lupa bahawa
kenderaan kerajaan adalah untuk kemudahan menjalankan tugas negara dan
bukan untuk kepentingan bercuti bersama keluarga. Ini yang dikatakan
menyalahgunakan harta kerajaan.
Teringat pula aku tentang kisah zaman pentadbiran Khalifah Saidina Omar
pada zaman Khalifah al-Rasyidin di mana dikisahkan tentang Saidina Omar
tidak sekali-kali menggunakan harta kerajaan demi untuk kepentingan
peribadinya sehinggakan kepada perkara sekecil-kecil seperti penggunaan
lampu minyak sekali pun. Beliau tidak sekali-kali akan menggunakan harta
milik kerajaan.
Hampir setiap tahun Ketua Audit Negara akan mengemukakan laporannya
tentang perbelanjaan yang dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan di
Malaysia. Dan setiap kali dibentangkan akan terdapat penyelewengan yang
dilakukan oleh jabatan-jabatan. Yang anihnya juga akan berlaku keadaan
yang sama hampir setiap tahun. Diberikan jaminan bahawa akan dibaiki
dari masa kesemasa. Namun masih berada ditakuk lama juga.
Perlembagaan Malaysia ada menyatakan bahawa Perkara 107 menyatakan mengenai Laporan Ketua Audit Negara. Ketua Audit Negara hendaklah
mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang
hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan
Rakyat.Satu naskhah mana-mana laporan itu yang berhubungan dengan akaun
bagi sesuatu Negeri, atau berhubungan dengan akaun-akaun bagi mana-mana
pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh
undang-undang Negeri, hendaklah dikemukakan kepada Raja atau Yang
di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang hendaklah menyebabkan laporan itu
dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.
Persoalan yang berada di hadapan kita ialah apakah para pemimpin di
negara ini tidak langsung mahu merujuk tindakan mereka kepada
perlembagaan negara atau apakah disebabkan sikap yang terlalu angkuh
telah menyebabkan mereka ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Mungkin
disebabkan merasakan terlalu berkuasa telah menyebabkan golongan
sebegini merasakan bahawa tidak ada siapa yang boleh menegur dan
melarang mereka. Mereka tahu bahawa semua jentera kerajaan adalah di
bawah kwalan mereka. Lantas boleh dipergunakan sewenang-wenangnya untuk
menutup segala ‘keburukan’ dan ‘kecurangan’ yang dilakukan.
Golongan yang masih mahu mematuhi peraturan dan perlembagaan negara
dalam melaksanakan tugas mereka masih ada. Tetapi malangnya tidak ramai
bilangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan