Idris Jusoh
 
 
PUTRAJAYA - Sekolah yang terjejas banjir di Kelantan boleh dibuka untuk sesi persekolahan 2015 jika separuh daripada keseluruhan bilik darjahnya sudah sedia untuk digunakan, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. 

"Contohnya jika sekolah itu mempunyai 10 bilik darjah dan lima daripadanya sudah dibersihkan. Maka sesi persekolahan dianggap sudah boleh dimulakan Ahad ini," katanya.   

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Idris berkata sejumlah 79  peratus atau 130 dari 165 sekolah di Kelantan yang terjejas banjir sudah sedia untuk dibuka bagi sesi persekolahan 2015, Ahad ini.   

Idris berkata, kesemua 30 sekolah di Pasir Mas dan kesemua 19 sekolah di Kota Bahru telah selesai dibersihkan dan sedia untuk dibuka.   

Sementara di Tumpat, 26 daripada jumlah keseluruhan 27 sekolah yang terdapat di jajahan itu telah selesai dibersihkan, katanya.   

Di Tanah Merah, 13 daripada 20 buah sekolah yang terdapat di jajahan itu sudah siap dibersihkan manakala di Gua Musang hanya lima daripada  11 sekolah telah dibersihkan, katanya.   

Di Kuala Krai 33 daripada 51 buah sekolah sudah siap dibersihkan dan di Machang hanya empat daripada tujuh buah sekolah yang terdapat di jajahan itu telah dibersihkan, tambah Idris.    

Katanya beliau akan turun padang meninjau sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung di Tumpat dan beberapa sekolah lain,  Ahad ini.  

Idris memaklumkan sukarelawan yang ada di Kelantan sedang bekerja keras untuk membolehkan sekolah-sekolah yang terjejas banjir dapat  dibuka pada Ahad ini.   

Beliau menambah perabot baharu akan dihantar secepat mungkin ke sekolah yang terjejas banjir manakala penghantaran buku akan mengambil  masa sehingga tiga atau empat minggu kerana perlu mencetak semula.   

Katanya Kementerian Pendidikan sehingga kini sudah membelanjakan RM17.2 juta untuk mobilisasi dan membeli peralatan kepada para sukarelawan yang turun padang menjalankan kerja-kerja pembersihan di negeri terjejas banjir. 

Menyentuh mengenai perkembangan di Terengganu, Idris berkata kesemua sekolah yang terjejas banjir sedia untuk dibuka Ahad ini.   

"Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada perkembangan keadaan cuaca sehingga hari Ahad," katanya. - Bernama