BR1M
  • BR1M
 
 
MELAKA - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah lebih RM4.56  juta sedang diagih kepada 5,369 penerima pada fasa pertama pengagihan itu di Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
  
Beliau berkata, daripada jumlah itu,  seramai 3,036 orang menerima BR1M berjumlah RM2.58 juta di Melaka Tengah; Alor Gajah (1,427 penerima dengan jumlah RM1.21 juta), dan Jasin (906 penerima dengan jumlah RM770,100).
  
"Kita bersyukur kerana tahun ini kadar BR1M  dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
  
"Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 yang akan dilakukan dalam tiga fasa kecuali individu bujang yang dibayar sekaligus," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan BR1M kepada 79 penerima di Dewan Undangan Negeri Sungai Udang di Taman Bukit Terendak  di sini, hari ini.   
  
Dalam perkembangan lain, Idris mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini untuk mengkaji landskap taman perumahan di kawasan pentadbiran mereka untuk ditukarkan kepada pokok buah-buahan.
  
Beliau berkata, cadangan itu adalah bagi menambahkan lagi keceriaan dan keindahan persekitaran Melaka.
  
"Kita berhasrat untuk menghiasi taman perumahan dengan pokok-pokok buah-buahan, saya dapat idea ini apabila melawat ke Denmark, di seluruh bangunan kerajaan mereka tanam pokok epal.
  
"Saya cadangkan di Melaka kita tanam pokok mangga Melaka Best," katanya. - Bernama