Rabu, 7 Januari 2015

BERSIH tak akan pernah puas hati, kata SPR

MALAYSIAKINI



 
 
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas kumpulan pendesak pilihan raya, BERSIH yang dilihat tidak akan pernah berpuas hati dengan masa cadangan persempadanan semula pilihan raya oleh SPR.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebelum ini BERSIH menggesa SPR agar mempercepatkan syor persempadanan semula.

Namun, beliau hairan apabila BERSIH menganggap SPR tergesa-gesa membentangkan syor persempadanan semula di Sarawak yang dibuat semalam.

"Hujung tahun lepas dia (BERSIH) marah kenapa lambat sangat (bentang persempadanan semula).

"Sekarang kita buat, dia kata kita cepat sangatlah. Merepeklah ini..." kata Aziz (kanan) sewaktu dihubungi Malaysiakini untuk mengulas perkara itu.

Menurut Aziz, pilihan raya negeri Sarawak hanya perlu diadakan menjelang 22 Jun 2016, justeru persempadanan semula boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum tarikh itu.

BERSIH dalam kenyataan yang diedar semasa sidang media mereka hari ini mempertikaikan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya negeri Sarawak yang dipamerkan SPR bermula semalam.

"BERSIH mempersoalkan kenapa SPR perlu memulakan langkah persempadanan semula ini secara tergesa-gesa sewaktu perhatian negara tertumpu kepada langkah memulihkan banjir," kenyataan BERSIH dipetik.

BERSIH berpandangan langkah persempadanan itu masih boleh dimulakan sebulan atau dua bulan dari sekarang.

"Adakah ini plot terancang oleh SPR untuk menghalang perhatian nasional dan penelitian maksimum oleh orang ramai ke atas persempadanan semula di Sarawak ini," kenyataan itu dipetik lagi.

Mengulas pengagihan pengundi yang didakwa BERSIH tidak sekata, Abdul Aziz menggesa BERSIH agar mengemukakan perkara tersebut secara bertulis kepada pengarah pilihan raya Sarawak.

"Kalau itu juga dia persoalkan, eloklah ia dibuat secara bertulis kepada pengarah pilihan raya Sarawak," kata Abdul Aziz.
 

Tiada ulasan: