Sabtu, 31 Januari 2015

Bersih saran pengundi Sarawak kemuka bantahan segera

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa pengundi di Sarawak mengemukakan bantahan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berikutan tempoh yang diberikan tinggal seminggu sahaja lagi.

Jelas Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, ia adalah hak penduduk Sarawak menuntut keadilan agar pilihan raya dilakukan dengan telus dan bersih daripada penipuan kerajaan.

“Kuasa untuk menghentikan pengagihan pengundi secara tidak serata di Sarawak yang dibuat oleh SPR secara berterusan selama ini terletak di tangan pengundi negeri ini,

“BERSIH 2.0 tidak mempunyai ‘locus standi’ (kuasa) untuk mengemukakan apa-apa bantahan terhadap SPR dan SPR juga telah menolak sebarang usaha untuk berbincang dengan kami.

“Pengundi Sarawak hanya mempunyai satu minggu untuk membantah syor persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang akan memberi kesan kepada keputusan sekurang-kurangnya dua pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, bantahan secara jelas perlu dibuat apabila 13,526 daripada 1,109,134 pengundi dibahagikan kepada 15 daripada 82 DUN yang dilihat terlalu menyeleweng.

Antaranya DUN Pelawan iaitu sebanyak 31,388 jumlah pemilih iaitu 132 peratus lebih besar daripada purata negeri.

Katanya, penyelewengan saiz Bahagian DUN yang terbesar ini menyebabkan nilai undi pengundi di Pelawan paling kecil berbanding dengan pengundi di Bahagian DUN yang lain.

Antara lain, DUN Pending dengan jumlah pengundi 30,881, Bukit Asek sebanyak 28,908 dan Dudong sebanyak 28,569.

Manakala di peringkat parlimen, katanya,  Bandar Kuching dengan jumlah pengundi 78,394 adalah 119% lebih besar daripada purata negeri dan merupakan penyelewengan saiz terbesar di negeri itu, selain Miri, Sibu, Stampin, Bintulu, Lanang, Petrajaya dan Mambong.

“BERSIH 2.0 hanya berdaya menunjukkan kelemahan serius dalam syor cadangan persempadanan semula SPR dan menggesa pengundi Sarawak di kawasan yang disenaraikan di sini untuk mengambil tindakan mengikut hak mereka sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang dilakukan pada minggu ini boleh menentukan masa depan kita untuk 10 tahun yang akan datang,” katanya lagi.

Tiada ulasan: