Khamis, 22 Januari 2015

Berbanding Najib, Obama lebih berani iktiraf pandangan lawan

Najib_Obama_golf

 Oleh LIM KIT SIANG


Pungutan suara Edelman Trust Barometer 2015 mendapati hanya 45 peratus rakyat Malaysia mempunyai keyakinan terhadap Putrajaya, merudum berbanding tahun lepas pada kadar 54 peratus.

Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi pendukung utama politik keterangkuman dan kesederhanaan boleh dilihat melalui keengganannya mengadakan sidang Parlimen khas bagi menyemak semula Belanjawan 2015, ataupun menjemput pemimpin dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berbincang sebelum menyiapkan semakan semula Belanjawan 2015.

Malah, bukan sahaja pemimpin BN, tetapi Menteri Kabinet pun tidak diajak bersama dalam proses merencana dan menyiapkan semakan semula Belanjawan 2015. Mesyuarat Kabinet semalam sekadar diberikan keputusan semakan semula Belanjawan 2015 yang diumumkan sehari sebelumnya.

Pemimpin Pakatan Rakyat berulang kali menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Perdana Menteri dan Putrajaya untuk memajukan maksud ke arah rekonsiliasi nasional, namun Perdana Menteri masih belum melayani tawaran ini.

Dalam perutusan State of The Union semalam, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata:
“Jika anda turut berkongsi gagasan yang saya gariskan malam ini, bekerjalah bersama saya.

“Jika anda tidak setuju dengan beberapa bahagian, saya harap anda akan bekerjasama dengan bahagian-bahagian yang lain. Saya harap anda akan bekerjasama dengan saya, di bahagian yang anda setuju.

“Dan saya memberi komitmen kepada semua pemimpin Republican di sini malam ini, bahawa saya bukan sahaja akan mendapatkan idea daripada kalian, saya akan bekerjasama dengan anda demi menguatkan negara ini.”

Kini timbul kontroversi sama ada Obama akan mengotakan katanya terhadap komitmen yang dibuat dalam perutusan State of The Union itu.

Tetapi di Malaysia, Najib masih belum membuat komitmen untuk bersedia bekerja dengan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan politik – dan Perdana Menteri pun masih lagi belum memberi sebarang respon kepada 25 orang tokoh Melayu yang mengutus surat terbuka kepadanya sebulan lalu.

Najib masih belum membuktikan beliau Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, pendukung utama politik keterangkuman dan kesederhanaan, dan bukannya membenarkan retorik dan politik eksklusif dan ekstremis dibiar bebas dalam negara.

Dalam wawancara di rancangan ‘Soal Jawab’ TV3 semalam, Najib berkata bahawa kerajaan terus komited mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara dengan memastikan tiada pertelingkahan kaum yang serius terjadi, dan beliau akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Beliau menekankan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia dan beliau akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Sementara kita mengalu-alukan jaminan, perlu dinyatakan bahawa Najib yang bakal genap enam tahun menjadi Perdana Menteri dalam masa kurang tiga bulan lagi masih belum membuktikan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah, dan pendukung utama politik keterangkuman dan kesederhanaan, bukannya membenarkan retorik dan politik eksklusif dan ekstremis dibiar bebas dalam negara.

Tiada sesiapa yang sangsi dengan kefasihan Najib mempromosi perjuangan kesederhanaan di lingkaran antarabangsa, dengan inisiatif Global Movement of Moderates-nya yang telah dipromosikan tiga kali di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Malangnya, Najib belum mengotakan kata-katanya di forum-forum antarabangsa, di tanah air sendiri.

Seandainya Najib boleh melaksanakan 10 peratus sahaja daripada kepercayaan dan dukungannya terhadap prinsip kesederhanaan di dalam negara, beliau pastinya lebih berjaya memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia.

Sebaliknya, Najib mempunyai reputasi sebagai Perdana Menteri dengan nilaian populariti terendah. – Roketkini.com

Tiada ulasan: