Sabtu, 10 Januari 2015

Bekas Yang Dipertua Negeri S'wak meninggal dunia

MALAYSIAKINI


 


Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah di Kuching kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Ketua Bahagian Adat dan Protokol Sarawak Datuk Khir Busrah ketika ditemui di perkarangan pusat perubatan itu berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negeri di Petra Jaya pukul 10.30 pagi ini.

Beliau berkata para pembesar, pemimpin dan juga rakyat jelata boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negeri antara 10.30 pagi sehingga waktu Zohor.

Katanya jenazah Allahyarham akan dibawa ke tanah perkuburan orang Islam di Semariang untuk istiadat pengebumian selepas solat Zohor.

Khir seterusnya meminta orang ramai yang berhasrat hadir supaya mengenakan pakaian yang sesuai, dan menasihatkan orang Islam supaya memakai baju kebangsaan hitam, manakala wanita bukan Islam mengenakan baju kurung atau kebaya labuh.

"Bagi pihak kerajaan negeri saya menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun," katanya, namun beliau tidak dapat memastikan punca kematian.

Abdul Rahman, 87, yang sebelum ini dilaporkan menerima rawatan sejak beberapa bulan lepas meninggalkan seorang isteri dan lapan anak perempuan.

Salah seorang anaknya, Datuk Norah, merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Manis, manakala seorang lagi, Khadijah adalah menantu kepada Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Isteri pertama Allahyarham, Toh Puan Normah meninggal dunia pada 1983.- Bernama

Tiada ulasan: