Banjir: Stesen minyak diminta tuntut ganti rugi
KUALA LUMPUR - Pengusaha stesen minyak yang terjejas banjir diminta mengemukakan permohonan peruntukan ganti rugi daripada syarikat minyak masing-masing bagi membolehkan stesen minyak beroperasi semula secepat mungkin.

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman berkata pihaknya sedia membantu pengusaha berkenaan mendapatkan tuntutan terhadap kemusnahan stesen minyak mereka akibat banjir.

"Kami akan membantu mereka menghantarkan permohonan kepada syarikat minyak masing-masing untuk mempercepat proses tuntutan dengan syarat mereka mesti sediakan laporan kerosakan peralatan akibat banjir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bekalan minyak di negeri-negeri terlibat banjir masih terhad kerana banyak stesen minyak masih belum beroperasi akibat kerosakan yang dialami.

"Banyak stesen minyak di negeri-negeri Pantai Timur rosak akibat ditenggelami air... sesetengahnya yang terselamat daripada banjir terpaksa menjual minyak dalam kuantiti terhad.

"Lagipun lori muatan berat yang membawa bekalan minyak tidak berani mengambil risiko untuk melalui jalan-jalan rosak akibat banjir kerana dikhuatiri bahaya," katanya.

Hashim berkata usaha memulihkan operasi stesen minyak yang terjejas memerlukan masa kerana peralatan seperti sistem komputer dan tangki minyak perlu dibaiki atau diganti.

"Oleh itu, pengusaha stesen minyak terlibat perlu segera membuat permohonan mendapatkan pampasan bagi membolehkan stesen minyak mereka beroperasi semula," katanya. - Bernama