Rabu, 7 Januari 2015

Banjir: Selangor rancang bina 150 rumah di Kelantan

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor merancang untuk membina 150 unit rumah pasang siap untuk mangsa banjir di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Iskandar Samad berkata, rumah tersebut berukuran 500 hingga 550 kaki persegi yang akan dibina dalam masa 30 hari.

Katanya, kos untuk seunit rumah pasang siap dalam anggaran RM10,000 dan ianya sebagai rumah asas untuk mangsa banjir.

"Penerima akan buat 'extension' untuk rumah apabila mereka ada kemampuan nanti," katanya dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Teknikal Bantuan Rumah Projek Kasih Selangorku pada 2 dan 5 Januari lalu berkata projek itu akan diuruskan oleh PKNS dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Dalam mesyuarat itu juga, katanya sebanyak empat kontraktor telah membentangkan cadangan mereka untuk projek tersebut.

"Cadangan-cadangan ini akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor pada 8 Jan untuk dipilih oleh kerajaan negeri," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sementara itu, Yayasan Darul Hijrah yang giat menjalankan misi bantuan kepada mangsa banjir kini mengambil langkah proaktif dan berperancangan untuk membina penempatan sementara bagi mangsa banjir di Kelantan.

Pengerusinya Datuk Husam Musa berkata, melalui sumbangan awam pihaknya sedang merencanakan penempatan sementara secara bersepadu dan tersusun yang dilengkapi 40 buah khemah, tandas, surau tempat memasak dan klinik sementara.

Tegasnya, mustahil untuk membina rumah kekal sekelip mata dengan jumlah kerosakan sebegitu besar.

"Melalui ini, mangsa banjir sekurangnya dapat berlindung di bawah penempatan yang dilengkapi pelbagai kemudahan sementara rumah disiapkan. Perkongsian keprihatinan anda semua amat diperlukan bagi merawat kesedihan dan kehilangan ini," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun, katanya Yayasan Darul Hijrah sedang di peringkat akhir mendapat persetujuan orang kampung dan meminta pandangan ramai tentang perancangan itu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: